34 organisasi media terima RM10.3 juta Dana Inovasi Media Fasa 1

34 organisasi media terima RM10.3 juta Dana Inovasi Media Fasa 1./GAMBAR FAIL

PUTRAJAYA, 27 Februari – Sebanyak 34 organisasi media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) telah menerima pembiayaan berjumlah RM10.3 juta di bawah Dana Inovasi Media bagi Fasa 1, daripada keseluruhan 50 permohonan yang diterima.

RINGKASAN BERITA AI
  • 34 organisasi media terpilih menerima pembiayaan RM10.3 juta di bawah Dana Inovasi Media Fasa 1.
  • Dana bertujuan memperkukuh teknologi, pembangunan kandungan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja media tempatan.
  • Permohonan Fasa 3 dibuka 1 hingga 14 Mac untuk meneruskan sokongan kepada organisasi media.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dana berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM30 juta yang diumumkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bagi memperkukuh ekosistem media tempatan.

Menurut Datuk Fahmi “Dana ini bukan hanya bertujuan memperkukuh keupayaan organisasi media melalui penerapan teknologi baru, pembangunan kandungan berkualiti serta
peningkatan kemahiran tenaga kerja, malah menjadi pemangkin kepada ekosistem media yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing terutama pada ketika pelbagai perubahan sedang melanda sektor media.

Kerajaan yakin inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada organisasi media terutama organisasi media tempatan untuk berkembang dan menyumbang kepada penyampaian maklumat yang tepat, berintegriti, beretika dan berkualiti kepada rakyat.”

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan di Putrajaya hari ini

Tambahnya, inisiatif itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada penerapan teknologi baharu dan pembangunan kandungan berkualiti, malah memperkasa kemahiran tenaga kerja serta daya saing organisasi media dalam landskap yang semakin mencabar.

Permohonan bagi Fasa 3 akan dibuka mulai 1 hingga 14 Mac ini.

“Kerajaan yakin inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada organisasi media untuk berkembang dan menyumbang kepada penyampaian maklumat yang tepat berintegriti, beretika dan berkualiti kepada rakyat,” katanya.