fb fb fb fb fb

33 peratus usahawan mikro berjaya menjadi usahawan kecil

Foto facebook Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Sebanyak 33 peratus usahawan mikro telah berjaya beralih menjadi usahawan kecil.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peratusan itu mempamerkan keberkesanan inisiatif kerajaan ke arah memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata inisatif pemerkasaan PMKS akan terus ditingkatkan bagi memastikan golongan itu mampu berdikari dan seterusnya, berupaya untuk bersaing ke peringkat antarabangsa.

"Pada tahun ini sahaja, kira-kira 33 peratus daripada usahawan mikro ini telah meningkat menjadi usahawan kecil dan kira-kira 15 peratus usahawan yang kecil menjadi sederhana.

"Ertinya, satu ketika nanti kita mahu menunjukkan industri kecil dan sederhana... usahawan mikro ini kita bimbing mereka. Jadi peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu yang datang daripada Kementerian Kewangan dalam setiap kali Belanjawan itu kita gunakan sepenuhnya untuk melatih mereka.

"... Sebab tujuan kita ialah untuk mewujudkan usahawan-usahawan yang boleh berdikari satu ketika nanti tanpa pinjaman, tanpa bimbingan lagi", katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang bersiaran secara langsung dari Dataran Bagan Datuk, Perak, sempena sambutan ulang tahun ke-40 program itu.

Sementara itu, menerusi catatan di facebook, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada RTM yang telah berjaya kekal relevan dalam menyampaikan maklumat sahih dan program bermanfaat kepada masyarakat selama empat dekad.

"Secara peribadi, RTM sangat dekat di hati saya, lebih-lebih lagi dengan pengalaman saya sendiri berkhidmat di Wisma Radio satu ketika dahulu.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada RTM kerana telah memilih Bagan Datuk sebagai lokasi ke-34 bagi sambutan ulang tahun ke-40 ini. Semoga RTM, khususnya tenaga kerja Selamat Pagi Malaysia terus maju jaya dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia.

Katanya, menerusi rancangan SPM itu juga, beliau berkongsi mengenai perancangan Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan bandar baharu di Bagan Datuk dengan kawasan seluas 155.8 hektar yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

"Harapan saya, menerusi pembangunan bandar baharu ini akan menjadi jambatan kepada lebih banyak kemajuan dan pembangunan dari pelbagai sudut yang merangkumi bidang ekonomi, pendidikan dan pembangunan modal insan untuk komuniti Bagan Datuk dan kawasan sekitarnya. Insya-Allah", katanya menerusi catatan di facebook.

 

ROSLINA BINTI DIN