fb fb fb fb fb

327 lokasi runtuhan cerun dikenal pasti di seluruh negara- Fadillah

GURUN, 19 Mac- Sebanyak 327 lokasi runtuhan cerun di sepanjang jalan persekutuan di seluruh negara untuk proses baik pulih membabitkan kos lebih RM400 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata,daripada jumlah tersebut, sebanyak 121 lokasi sudah siap dibaik pulih dan masih dalam pembinaan, sementara selebihnya masih dalam perancangan untuk kerja-kerja baik pulih.

Katanya, antara lokasi runtuhan yang serius termasuk di Cameron Highland, Pahang; Simpang Pulai, Perak; dan Genting Peras di Negeri Sembilan.

"Ada yang dah siap, ada yang masih dalam pembinaan, ada yang dalam perancangan mengikut berapa keseriusan keruntuhan tersebut, ada yang berskala besar , ada yang berskala kecil dan yang kecil itu bahagiannya dah siap, yang sederhana dalam perancangan dan yang besar itu mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk kita selesaikan," katanya ketika ditemui di Program FTRoadpedia Utara 2.0 dan tinjauan pembaikan cerun pasca banjir di Jalan Gunung Jerai, Gurun.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, proses baik pulih tujuh cerun di Gunung Jerai dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.

Jelasnya, kerajaan negeri juga menaruh harapan besar supaya projek itu disiapkan seawal mungkin supaya jalan Gunung Jerai dibuka semula untuk pelancong.

"Kerja pembaikan agak kompleks kerana bukan sekadar baiki cerun tetapi sebahagiannya kita pasang jaring untuk lindungi jalan. Insyaallah Mei ini jalan Gunung Jerai akan dibuka untuk semua,"katanya.


(Gambar Fail)

Media Baharu