KOTA TINGGI, 17 Julai- Kira-kira 30 peratus peserta direkodkan tidak hadir dua siri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara alasan diberikan, masalah kesihatan atau menyambung pengajian ke universiti.
Bagaimanapun, sambutan masih dianggap baik dan memuaskan.
PLKN 3.0 masih berada dalam fasa percubaan dan pelaksanaan sepenuhnya akan bermula tahun hadapan.
"Daripada dua penganjuran terdahulu, program ini telah menerima sambutan yang sangat baik. Para peserta turut menyuarakan hasrat agar pengisian latihan ketenteraan dipertingkatkan lagi.
Setakat ini, tempoh pelaksanaan program masih kekal 45 hari seperti sebelumnya," kata Datuk Seri Mohamed Khaled kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui semasa Perasmian Kembara Lestari @ Kota Tinggi 2025 di FELDA Lok Heng Timur, di sini.
PLKN 3.0 Siri 1/2025 diadakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur selama 45 hari bermula 12 Januari hingga 25 Februari.
Siri 2/2025 pula bermula 11 Mei hingga 24 Jun lepas.
Sementara itu, Siri 3 akan dilaksanakan 7 September hingga 21 Oktober di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah serta Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.