
LANGKAWI, 8 Mac – Seramai 30 murid kurang berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kedawang diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini semalam.
- Program komuniti jadi platform mengeratkan hubungan antara pihak hotel dan sekolah melalui sokongan kepada institusi pendidikan.
- Pengurus hotel menyatakan komitmen jalinan berterusan dan bantuan keperluan asas sekolah termasuk penyelenggaraan.
- Murid gembira dan berterima kasih atas pengalaman berbuka bersama yang memberi pengalaman baharu.
- Program diharap memberi dorongan, meningkatkan keyakinan serta menyokong persekitaran pembelajaran kondusif.
Program komuniti itu turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pihak hotel dan sekolah setempat melalui pelbagai bentuk sokongan kepada institusi pendidikan.
Pengurus hotel, Jaswinder Kaur berkata pihaknya berhasrat menjalin hubungan berterusan dengan sekolah di sekitar Langkawi termasuk membantu dalam beberapa keperluan asas sekolah.
“Kami juga bercadang untuk turun ke sekolah bagi menjalankan aktiviti gotong-royong dan membantu kerja penyelenggaraan sekiranya diperlukan,” katanya.
Beliau berkata usaha itu diharap dapat menyokong persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada para pelajar.
Sementara itu, seorang murid SK Kedawang, Khairul Haziq Helmi Khairulsah, 12, berkata peluang menyertai majlis berbuka puasa berkenaan memberi pengalaman baharu kepadanya.
“Saya gembira dapat berbuka puasa bersama dan berterima kasih kepada pihak yang menjemput kami,” katanya.
Seorang lagi murid, Muhammad Rafahan Mohd Ridzwan, 10, turut melahirkan rasa teruja dengan pengalaman tersebut.
Program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada murid menikmati suasana berbuka puasa bersama, malah diharap dapat memberi dorongan dan keyakinan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.