KLANG 24 Jun– Segmen khas "3 Suara Di Mana?" terbitan NASIONALfm hari ini buat pertama kalinya bersiaran secara langsung dari kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), iaitu Kapal Maritim (KM) DANGA.
Ia bersempena dengan sambutan Hari Maritim dan Hari Bapa.
Menurut Pengurus NASIONALfm, Salbiah Mohd Sharif, program itu memberi penghormatan kepada pengorbanan golongan bapa, khususnya mereka yang berkhidmat sebagai barisan hadapan.
Ia juga platform untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap peranan penting sektor maritim negara.
"Laut bukanlah sekadar kawasan perikanan dan sebagainya, sebaliknya ia merupakan laluan yang amat penting bagi negara.
"Kerjasama yang diberikan oleh agensi maritim memberikan kita perspektif lebih luas mengenai aspek keselamatan di laut, termasuk ancaman pencerobohan.
"Kita mahu memberi pendedahan kepada pendengar dan masyarakat tentang betapa pentingnya keselamatan perairan negara," katanya di sini.
Tambah beliau, pemilihan lokasi siaran langsung di atas laut juga bertujuan untuk memberi pengalaman berbeza serta menyampaikan mesej kepentingan keselamatan maritim secara langsung kepada rakyat Malaysia.
Salbiah turut berharap agar kerjasama itu dapat dijadikan program tahunan, bukan sahaja dengan agensi Maritim Malaysia, tetapi juga bersama agensi-agensi keselamatan lain dalam usaha memberikan maklumat tepat, sahih dan bermanfaat kepada rakyat.
Sementara itu, menurut Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Negeri Selangor, Laftenan Maritim Mohd Syafiq Sazali, sambutan Hari Keselamatan Maritim pada 6 Jun setiap tahun diadakan untuk mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap aspek keselamatan ketika berada di laut.
"Objektif Hari Kesedaran Keselamatan Maritim ini adalah untuk membuka pandangan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan semasa berada di laut. Sentiasalah mengutamakan keselamatan, antaranya dengan memakai jaket keselamatan.
"Bagi nelayan pula, sebelum turun ke laut, pastikan keadaan cuaca diperiksa terlebih dahulu dan maklumkan kepada ahli keluarga terdekat," jelasnya.
Tambahnya, selain operasi rondaan harian dan operasi khas, Maritim Malaysia juga giat melaksanakan latihan mencari dan menyelamat serta kursus keselamatan melibatkan pelbagai agensi untuk memastikan kesiapsiagaan ketika berlaku kecemasan.