fb fb fb fb fb

3.7 juta pelancong dicatatkan datang ke Melaka, suku pertama tahun ini

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (dua, kanan) mengagihkan cenderahati kepada pelancong dan perantau yang tiba di Melaka pada Majlis Meraikan Kedatangan Pelancong dan Kepulangan Perantau di Pusat Penerangan Pelancongan di Ayer Keroh, lewat malam tadi

MELAKA, 7 April - Melaka mencatatkan 3.7 juta kedatangan pelancong bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Mac lepas sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kira-kira 60,000 hingga 70,000 kenderaan sehari dicatatkan memasuki negeri itu pada setiap hujung minggu sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung dalam tempoh tiga bulan ini.

"Kita ada lagi kira-kira sembilan bulan dan saya yakin sasaran 18.7 juta pelancong dan pengunjung sempena TMM 2024 akan dapat dicapai menerusi pelbagai program dan aktiviti menarik berskala kecil dan besar yang telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Meraikan Kedatangan Pelancong dan Kepulangan Perantau ke Melaka di Pusat Penerangan Pelancongan di Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata 8.63 juta pelancong direkodkan ke Melaka pada tahun lepas iaitu peningkatan 42.77 peratus berbanding 2.59 juta pelancong pada 2022.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 7.37 juta orang merupakan pelancong domestik manakala 1.26 juta orang ialah pelancong asing," katanya.

Selain itu, beliau berkata pasar terapung atau 'floating market' yang dibangunkan di Sungai Melaka Fasa Dua di sini dijangka mula beroperasi pada pertengahan bulan ini.

Katanya sebanyak 40 peniaga akan beroperasi di khemah jualan yang disediakan dan 30 sampan juga ditempatkan di sepanjang sungai berkenaan bagi menawarkan pelbagai produk makanan, minuman dan pelancongan popular negeri.

TETITIA YUSOFF