fb fb fb fb fb

29,900 liter diesel bersubsidi dirampas polis Kedah

Foto Fail

SUNGAI PETANI, 17 April- Polis menahan dua lelaki tempatan ketika sedang melakukan urusan jual beli minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Bedong, Kedah pada Selasa.

Rampasan membabitkan 29,900 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM44,991.
 
Serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Kuala Muda.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd Rahman@Abd Rahim berkata ketika ditahan kedua-duanya yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun cuba memindahkan diesel terbabit dari sebuah treler ke dalam dua lori.
 
Hasil pemeriksaan mendapati 800 liter dan 2,100 liter masing-masing ditemukan di dalam dua lori manakala 27,000 liter lagi dijumpai di dalam treler. 
 
Bercakap di sidang media di IPD Kuala Muda,beliau berkata siasatan lanjut mendapati treler itu dipercayai milik sebuah persatuan nelayan yang dipandu lelaki tempatan berusia lewat 30-an.
 
Diesel terbabit dipercayai diambil dari sebuah depoh minyak di kawasan Perai, Pulau Pinang bagi kegunaan nelayan di kawasan daerah Kuala Muda.
 
Kes disiasat dibawah Seksyen 407 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM