fb fb fb fb fb

280 murid DUN Nenggiri terima baucer kelengkapan sekolah

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bersama salah seorang murid di Nenggiri yang menerima baucer barangan persekolahan/RTM

GUA MUSANG, 12 Februari- Wajah kegembiraan jelas terpancar dalam kalangan ibu bapa golongan B40 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila menerima baucer sumbangan bagi membeli barangan persekolahan anak-anak mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata baucer bernilai RM150 diberikan bagi setiap murid untuk membeli keperluan seperti pakaian, beg sekolah dan kasut.

Setakat ini, seramai 280 murid menerima bantuan tersebut dengan jumlah keseluruhan peruntukan melebihi RM40,000 bertujuan meringankan beban keluarga yang bakal memulakan sesi persekolahan minggu hadapan.

"Bagi pusat khidmat ini, ia merupakan fasa kedua. Minggu lepas, kita telah agihkan kepada 80 murid, hari ini kepada 100 murid dan hujung bulan ini, 100 lagi akan menerima bantuan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 280 penerima setakat ini.

"Terima kasih kepada rakan strategik seperti Felcra Processing, Kesedar Perkilangan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas sumbangan kepada anak-anak di DUN Nenggiri. Harapan saya, walaupun bantuan ini tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan persekolahan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa," katanya.

Salah seorang penerima, Norlizawati Omar meluahkan rasa syukur atas bantuan diterima kerana ia membantu mengurangkan beban kewangan terutama dalam keadaan suaminya yang sedang sakit.

"Syukur sangat-sangat, bantuan ini meringankan beban kami. Saya tidak bekerja kerana menjaga suami yang sakit. Sekarang kos perbelanjaan sekolah pun mahal. Terima kasih banyak kepada YB (Yang Berhormat)," katanya.

Seorang lagi penerima, Muhamad Rofi Ismail menyifatkan sumbangan tersebut sebagai satu inisiatif yang menggembirakan ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak mereka.

"Baucer RM150 untuk setiap murid ini sangat membantu. Saya ucapkan terima kasih kepada YB Mohd Azmawi kerana sudi mengadakan program ini untuk meringankan beban ibu bapa. Dengan adanya bantuan ini, ibu bapa nampak lebih ceria," katanya.

Mereka ditemui RTM selepas menerima baucer persekolahan dalam satu majlis penyerahan di sebuah pasar raya di sini hari ini.

1202 BAUCER PERSEKOLAHAN 2
Sebilangan ibu bapa golongan B40 di Nenggiri yang menerima baucer barangan persekolahan anak-anak mereka hari ini/RTM

SITI AISHAH MD ISA