28 syarikat terima geran MDEC perkukuh AI

Menteri Digital,Gobind Singh Deo / Foto BERNAMA

PARLIMEN, 29 Januari – Kerajaan terus memperkukuh kedudukan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pelaburan strategik negara apabila memperuntukkan RM53 juta melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menyokong pembangunan syarikat teknologi tempatan, khususnya yang memanfaatkan AI dalam industri kreatif dan digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan peruntuk RM53 juta melalui MDEC untuk sokong pembangunan syarikat teknologi tempatan.
  • Geran MDAG melibatkan 47 syarikat, termasuk 28 yang menggunakan AI dan IoT untuk percepat inovasi.
  • Syarat permohonan geran merangkumi pendaftaran syarikat, modal saham minimum dan rekod kewangan bersih.
  • Matlamat ialah kukuhkan ekosistem digital, tingkatkan daya saing antarabangsa dan sumbang 30% KDNK menjelang 2030.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata peruntukan di bawah Geran Pecutan Malaysia Digital (MDAG) itu melibatkan 47 syarikat teknologi, termasuk 28 syarikat yang menggunakan teknologi AI dan Internet of Things (IoT) bagi mempercepatkan inovasi serta meningkatkan daya saing di peringkat global.

Menurut beliau, langkah tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan menjadikan AI bukan sekadar trend teknologi, sebaliknya sebagai teras pertumbuhan ekonomi digital negara.

“Pelaburan dalam AI penting bagi memastikan syarikat tempatan berupaya membangunkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh ekosistem digital negara,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, di Dewan Rakyat, hari ini.

Gobind menjelaskan, secara umum syarat permohonan geran MDEC merangkumi pendaftaran syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 atau 2016, keperluan modal saham minimum serta rekod kewangan bersih.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peruntukan RM53 juta ini dikhususkan bagi menyelesaikan baki komitmen geran sedia ada, manakala syarat bagi permohonan geran baharu akan ditetapkan berdasarkan keperluan semasa industri.

Beliau menambah, Kerajaan MADANI komited memastikan pembangunan ekonomi digital memberi pulangan mampan kepada negara dan manfaat langsung kepada rakyat, selaras sasaran sektor digital menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Peruntukan itu juga dijangka mengukuhkan keupayaan penggiat industri kreatif digital tempatan dalam mengadaptasi teknologi AI, sekali gus membolehkan mereka menembusi pasaran antarabangsa dengan produk dan kandungan berdaya saing tinggi.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan