fb fb fb fb fb

28,808 unit RKAT diselenggara tahun ini

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

HULU SELANGOR, 22 April- Sebanyak 28,808 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di 48 buah kem seluruh negara bakal diselenggara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta yang disalurkan tahun ini.

Beliau hari ini menyampaikan replika cek bernilai RM596,283 bagi menyelenggara 245 buah unit RKAT Taman Seruling, Kuala Kubu Baharu.

Ia merupakan Peruntukan Selenggaraan RKAT dan Blok Penginapan Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri Tahun 2024.

"Untuk rumah kakitangan, sebanyak 448,000 dan unit-unit kediaman untuk blok lelaki dan wanita lain-lain pangkat sebanyak RM147,500.

"Jadi, dengan peruntukan itu pada tahun ini semua rumah yang diduduki anggota di sini akan dibaiki, diselengara. Jadi tiada lagi mereka terganggu", katanya kepada media selepas sesi Lawatan Kerja ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taman Seruling, Hulu Selangor.

Pada masa sama, beliau turut menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga Tentera Darat (TD). Bantuan kebajikan sebanyak RM300 secara sekali bayar diberikan kepada 10 orang penerima dalam kalangan anggota atau waris yang menghidap penyakit kronik.

Selain itu, Sumbangan Pendidikan MADANI berjumlah RM50 secara sekali bayar turut diberikan kepada 19 orang anak-anak anggota tentera di Kem Erskine yang belajar Tahun 1 sesi persekolahan 2024. Sumbangan yang akan disalurkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpanan SSPN Prime) itu merupakan keprihatinan pihak Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT).

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersedia membantu Kementerian Luar sekiranya terdapat keperluan membawa pulang rakyat Malaysia di Iran.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia bergantung kepada Wisma Putra yang akan menilai situasi semasa di negara tersebut.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa bersiap sedia untuk memastikan rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut dalam keadaan selamat dari sebarang bentuk serangan terutama ketika konflik semakin meruncing.

"Jadi dari segi angkatan tentera, bukan maknanya kerajaan suruh kita pergi sana dan perang. Dalam soal kalau hendak bawa rakyat kita balik pun, kita perlu tengok logistik dan laluan boleh masuk atau tidak boleh masuk", katanya.

Katanya, kesahihan sebarang berita berkaitan situasi semasa di Iran juga perlu diteliti terlebih dahulu, memandangkan kebanyakan maklumat adalah dari platform TikTok.

ROSLINA BINTI DIN