PUTRAJAYA, 6 Januari – Sebanyak 28,000 notis saman bernilai lebih RM4 juta telah diselesaikan menerusi pelaksanaan inisiatif tawaran kompaun khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh lima hari pertama.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli yakin inisiatif tersebut dapat membantu rakyat Malaysia menyelesaikan baki dua juta saman tertunggak sepanjang tempoh tawaran tersebut.
“Kami berharap rakyat Malaysia memanfaatkan peluang ini untuk menyelesaikan tunggakan saman dengan kadar khas RM150 setiap satu. Ini adalah tawaran sekali sahaja daripada kerajaan sehingga 30 Jun,” katanya dalam sesi temubual khas bersama RTM, di sini.
Sebagai tambahan, Aedy Fadly berkata JPJ telah memperkenalkan kaedah pembayaran saman secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ mulai 2 Januari lalu.
“Inisiatif ini memudahkan orang ramai membuat pembayaran dan menyemak status saman secara lebih efisien,” jelas beliau.
Tawaran khas itu melibatkan tiga jenis saman, iaitu saman AWAS, Notis 114, dan Notis 115 yang boleh diselesaikan dengan kadar rata RM150 setiap satu sehingga 30 Jun ini.