277 bas Ekspres dan Persiaran dikenakan tindakan sepanjang 2025

FOTO RTM

SHAH ALAM, 14 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah memeriksa lebih 13,400 buah bas (ekspres dan persiaran) sepanjang tahun lalu, dengan 277 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 277 bas ekspres dan persiaran dikenakan tindakan penguatkuasaan sepanjang 2025.
  • Kesalahan utama termasuk tiada perlindungan insurans sah, tayar botak, dan 107 kes isu teknikal.
  • 712 notis dikeluarkan, termasuk saman P(22), notis arah periksa 61(1) dan larangan PG1.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Azrin Borhan, daripada jumlah itu sebanyak 11,575 melibatkan bas ekspres manakala 1,909 lagi bas persiaran, dengan masing-masing 177 bas ekspres dan 100 bas persiaran dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Antara kesalahan yang dikesan melibatkan bas ekspres dan bas persiaran sepanjang tahun lalu ialah memandu secara berterusan di lorong kanan sebanyak tiga kes, tiada perlindungan insurans yang sah sebanyak 33 kes, tayar botak sebanyak empat kes, serta 107 kes kesalahan teknikal termasuk lampu isyarat yang tidak berfungsi,” katanya pada Sidang Media Sempena Operasi Tahun Baru Cina di Terminal Bas Seksyen 17, di sini pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Azrin Borhan/RTM

Selain itu, daripada keseluruhan 367 kesalahan yang direkodkan, antara kesalahan lain termasuk tidak memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL), serta tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Hasil penguatkuasaan itu juga menyaksikan sebanyak 712 notis dikeluarkan, termasuk 458 notis saman P(22), 112 notis arah periksa 61(1) dan 140 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1),” jelasnya.

Terdahulu, Azrin turun padang menyertai lebih 20 pegawai dan anggota JPJ Selangor membuat pemeriksaan serta mengedarkan risalah keselamatan jalan raya kepada pemandu serta penumpang bas ekspres.