fb fb fb fb fb

27 menteri kabinet angkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong

(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Datuk Seri Fadillah angkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong/BERNAMA)

ISTANA NEGARA,3 Disember- Dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai anggota jemaah menteri itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, pada pukul 3petang.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat bermula dengan lagu kebangsaan ’Negaraku’ sebelum diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Istiadat berkenaan diadakan secara berkumpulan dengan barisan menteri dibahagikan kepada enam kumpulan.

Kumpulan pertama didahului Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Istiadat kemudian menyaksikan giliran lima lagi kumpulan menteri mengangkat sumpah jawatan sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama Seri Paduka Baginda berdua.

(Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan sebagai Timbalan
Perdana Menteri kepada Datuk Seri Fadillah Yusof /BERNAMA)

Media Baharu