fb fb fb fb fb

26 individu Islam di JB ditahan JAINJ dalam Ops Hibur

Ops Hibur di sebuah premis hiburan di Johor Bahru, Johor, awal pagi tadi

JOHOR BAHRU, 12 November- Seramai 26 individu beragama Islam termasuk dua wanita ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi Ops Hibur di sebuah pusat hiburan di sini pada pukul 1.00 pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia hasil pemeriksaan ke atas 65 pengunjung Islam yang hadir ke premis hiburan itu.

Operasi turut disertai polis dijalankan bagi mencegah orang Islam melakukan jenayah syariah seperti minum minuman memabukkan.

"Bahagian penguatkuasaan JAINJ sentiasa secara rutin melakukan operasi-operasi sebegini bersama pihak polis bagi maksud mencegah kemungkaran dan maksiat.

"Ini adalah tanggungjawab berterusan yang dilakukan dan operasi pada hari ini juga kita nak memberikan kegerunan kepada orang awam betapa kesalahan ini jangan sesekali dibuat," katanya kepada pemberita dalam operasi terbabit di sini.

Kes disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 Seksyen 19 (1) yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

SITI AISHAH BINTI MD ISA