fb fb fb fb fb

250 murid Parlimen Bandar Tun Razak terima bantuan awal persekolahan TNB

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin bersama para penerima bantuan sempena program Sumbangan Ceria ke Sekolah bersama TNB di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman Bin Affan Bandar Tun Razak/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Disember – Seramai 250 orang murid di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan bantuan awal persekolahan menerusi Program Ceria Ke Sekolah Bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu majlis yang berlangsung di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman Bin Affan Bandar Tun Razak, hari ini.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta pihak sekolah, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan murid bersedia menghadapi sesi persekolahan 2026.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata program itu merupakan siri pertama daripada empat siri sumbangan yang telah dirancang.

1412 SU POLITIK AZMAN SUMBANGAN CERIA SEKOLAH 2Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin/Foto BERNAMA

“Bagi siri pertama ini, kita menyalurkan sumbangan bantuan awal persekolahan kepada kira-kira 250 murid di Parlimen Bandar Tun Razak. Program hari ini diadakan di Sekolah Syiraz dengan kerjasama JAWI. Ini merupakan siri pertama dan kita akan melaksanakan tiga lagi siri sumbangan pada tahun hadapan,” katanya.

Secara keseluruhan, program berkenaan menyasarkan seramai 5,000 murid di Parlimen Bandar Tun Razak, dengan lebih 4,000 murid lagi dijadual menerima sumbangan sama menerusi tiga siri seterusnya yang akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun hadapan.

Inisiatif oleh TNB itu melengkapi usaha Kerajaan MADANI yang kekal komited dalam memastikan kebajikan serta akses pendidikan murid terus terpelihara, di samping membantu meringankan beban keluarga dan mengelakkan keciciran pelajar di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN