
BACHANG, 17 Mac – 25 kes kesalahan telah direkodkan dengan jumlah kompaun sebanyak RM2,600 sepanjang empat hari pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 di Melaka.
- Peniaga dimaklumkan wajib mempamerkan tanda harga di kertas merah jambu bagi barangan di bawah SHMMP, bukan dibalut plastik.
- Beberapa peniaga membalut tanda harga dengan plastik merah jambu, menyebabkan maklumat harga tidak jelas kepada pengguna.
- Sebahagian peniaga kurang peka atau kurang sedar keperluan itu, terutama ketika pasar yang sibuk.
- KPDN Melaka membuat 8,538 pemeriksaan; 163 kes direkodkan, rampasan lebih RM605,000 dan kompaun dikeluarkan RM30,600.
Secara keseluruhan, pelaksanaannya sepanjang tahun ini telah merekodkan 46 kes dengan jumlah kompaun sebanyak RM5,500.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, peniaga telah dimaklumkan mengenai keperluan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan di bawah SHMMP.
Namun, hasil pemeriksaan mendapati terdapat peniaga yang membalut tanda harga tersebut dengan plastik berwarna merah jambu, menyebabkan maklumat harga tidak begitu jelas kepada pengguna.
Tambah beliau, keadaan itu berlaku berkemungkinan disebabkan sebahagian peniaga kurang peka atau kurang sedar mengenai keperluan tersebut, terutama ketika keadaan pasar yang sibuk dengan kehadiran orang ramai.
“Kita telah maklum kepada peniaga kerana kita tengok ada peniaga yang membalutnya dnegan plastik warna merah jambu.
“Sepatutnya biarlah jelas. Saya tengok tadi ada beberapa kedai yang mengikut peraturan tetapi spesifikasi itu tidak begitu baik sebenarnya.
“Jadi kita harap nanti apabila pegawai kita turun padang bagi penerangan, bantuan dan bimbingan , tanda harga itu diletak di kertas merah jambu bukan plastik,” katanya.
Dr. Mohd. Hazimin sebelum itu membuat tinjauan SHMMP Hari Raya Puasa 2026 di Pasar Besar Melaka, Bachang.
Dalam masa sama, seramai 76 pegawai dan anggota KPDN telah digerakkan di seluruh Melaka untuk melakukan pemantauan di pasar-pasar awam, bazar Ramadan serta bazar Aidilfitri.
Dalam pada itu, KPDN Melaka juga telah melakukan pemeriksaan sebanyak 8,538 sepanjang tempoh 1 Januari sehingga semalam di seluruh negeri itu.
Daripada jumlah tersebut, 163 kes kesalahan telah direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM605,000 dan nilai kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM30,600.