PUTRAJAYA, 30 Oktober- 245 keluarga bakal memiliki sebuah kediaman selesa dan kondusif apabila Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya di Tanjung Karang, Selangor, siap 2026 nanti.
Pemilikan itu melibatkan pekerja komuniti India daripada 5 kawasan ladang estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek berkenaan yang bernilai RM75 juta membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan serta Negeri Selangor, dengan 20 ekar tanah diberikan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corparation Berhad (BCB).
Setiap unit rumah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan komuniti, kedai, taman permainan serta taska. Manakala pelaksanaan pembinaan dijangka dimulakan awal tahun hadapan.
"Selepas kita janji untuk pastikan selesaikan isu setinggan di 5 estet di selangor majlis pecah tanah akan dibuat sebelum Festival Ponggal pada Januari tahun depan.
"Pada masa sama kita menyasarkan 24 bulan untuk menyiapkan semua ini supaya kita menunjukkan komitmen kerajaan utk pastikan janji ditepati dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan kita," jelasya.
Beliau memaklumkan selepas menyaksikan penyerahan kelulusan kebenaran bagi merancang projek PRR Harmoni Madani Bestari Jaya, di sini hari ini.
Sesi penyerahan tersebut disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Mohamad Hanafe Basri kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan PRIMA, Datuk Sri Mohd Nazri Md Shariff sebagai agensi pelaksana.