fb fb fb fb fb

24 Stesen pemancar komunikasi di Kelantan, Pahang, Selangor, Terengganu telah pulih

Foto hiasan/BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Disember- Sebanyak 24 daripada 110 stesen pemancar komunikasi yang terjejas susulan banjir di empat buah negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor dan Terengganu telah pulih dan kembali beroperasi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi satu kenyataan memaklumkan Pejabat Negeri MCMC di empat buah negeri tersebut kini giat mencari penyelesaian bagi memulihkan baki 86 stesen pemancar komunikasi yang belum beroperasi.

Ia dilaksana menerusi kerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan.

MCMC menyifatkan bahawa telekomunikasi merupakan aspek penting bagi menghubungkan mangsa yang terjejas banjir dengan ahli keluarga masing-masing khususnya dalam keadaan sukar ini.

MCMC turut bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan banjir melibatkan negeri lain.

Orang ramai diingatkan untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu atau mengambil kesempatan dengan situasi banjir buruk yang melanda empat buah negeri ini.

Sebarang muat naik atau perkongsian perlu dipastikan kesahihannya dan memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dalam situasi sukar sebegini.

ROSLINA BINTI DIN