BINTULU, 9 Disember - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Suarah Bintulu pada pukul 12.00 tengah malam tadi bagi menempatkan 23 penduduk terjejas ekoran cuaca hujan berterusan di kawasan itu.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Bintulu, lima keluarga berkenaan terdiri daripada enam lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan.
Kesemuanya merupakan penduduk dari Kampung Kemunting, yang terjejas akibat keadaan air naik secara tiba-tiba.
Agensi-agensi penyelamat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin.
PPS Dewan Suarah Bintulu kekal beroperasi sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.