SEREMBAN, 21 November - Sebanyak 22 kompaun dikeluarkan dan 293 tindakan punitif telah diambil ke atas pelbagai ketidakpatutan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tapak kerja pembinaan di Negeri Sembilan.
Jumlah itu direkodkan dari Januari sehingga Oktober lepas.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan, Ir. Dr. Nor Halim Hasan, tindakan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 172 tapak pembinaan di seluruh negeri.
Beliau berucap demikian pada majlis Revolusi KKP Negara Peringkat Negeri Sembilan, di sini.
Program tersebut merupakan platform untuk JKKP Negeri Sembilan berkongsi beberapa pendekatan baharu yang diambil.
Ini selaras dengan penguatkuasaan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Rekabentuk dan Pengurusan) 2024.
Program disertai seramai 120 peserta yang terdiri daripada pemain industri sektor pembinaan di Negeri Sembilan. ###