SEPANG, 30 November - Seramai 218 penduduk terjejas banjir masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Labu Lanjut, setakat pukul 3.00 petang tadi.
Jumlah berkenaan melibatkan 55 keluarga dari Kampung Labu Lanjut, Sepang yang masih kekal berada di PPS tersebut susulan banjir yang masih belum surut.
Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Sepang, Md Isa Abdullah memaklumkan penduduk terjejas menerima bantuan keperluan asas dan rawatan kesihatan bagi memastikan kebajikan mereka terjaga sepanjang di PPS tersebut.
"Kanak-kanak yang memerlukan rawatan ataupun bayi ataupun ibu atau warga emas, kita ada satu tempat untuk rawatan dan kehadiran daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dan juga Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM) untuk bantu.
"Di JKM, kita ada unit bencana yang menyediakan.. Jadi, kalau ada yang ada NGO ada yang bagi juga kita terima dan rekodkan. Jadi di mana mereka yang memerlukan, kita bagi dan berekodlah," katanya demikian ketika ditemui pemberita semasa liputan tinjauan banjir di Sepang, hari ini.
Md Isa turut menggalakkan penduduk terjejas untuk menggunakan aplikasi MyIBJKM bagi memudahkan proses pendaftaran di PPS dan agihan bantuan.
Sementara itu, Ketua Kampung Labu Lanjut, Damarulan Hassim berkata kerja-kerja pembersihan rumah penduduk terjejas banjir juga dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat.
"Bila kita tengok dekat tebatan banjir, dah mula surut. Ada kawasan dah mula surut. Kami dah kumpulkan 40 oranglah yang ada di pejabat ketua kampung sekarang ini bersedia untuk mencuci rumah. Kita dah siapkanlah water jet apa semua untuk menunggu tuan rumah memberi kebenaran untuk masuk rumah
"Dua, tiga hari ini kami akan cuci rumah dan kami harap mangsa dapat terima hakikat," katanya.
