21 kes tibi direkodkan di Perlis sejak Januari lepas

Foto hiasan

ARAU, 25 Februari -Sebanyak 21 kes tuberkulosis (tibi) direkodkan di Perlis sejak Januari lepas, namun keadaan masih terkawal dengan langkah pencegahan dan advokasi kesihatan terus diperkukuh termasuk di Bazar Ramadan di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pejabat kesihatan negeri melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan tibi secara berterusan melalui pejabat kesihatan daerah dan klinik.
  • Advokasi tibi di Bazar Ramadan termasuk penerangan gejala, langkah pencegahan dan kepentingan saringan awal.
  • Orang ramai dengan gejala seperti batuk berpanjangan dinasihatkan segera menjalani pemeriksaan kahak dan X-ray.

Pengarah Kesihatan Perlis Dr Ghazali Chik berkata jabatan berkenaan melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan secara berterusan melalui pejabat kesihatan daerah serta klinik kesihatan bagi memastikan penularan penyakit berjangkit itu dapat dibendung.

“Jumlah kes semasa dalam keadaan terkawal dan kita dari semasa ke semasa memang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pejabat kesihatan daerah serta klinik kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kick-Off Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Arau yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar negeri Megat Hashirat Hassan, di sini, hari ini.

Dr Ghazali berkata advokasi berkaitan tibi turut dilaksanakan di bazar Ramadan menerusi penerangan kepada orang ramai mengenai gejala, langkah pencegahan serta kepentingan menjalani saringan awal bagi mengesan penyakit berkenaan.

Beliau berkata individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, penurunan berat badan dan kurang selera makan dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan bagi menjalani ujian lanjut termasuk pemeriksaan kahak dan X-ray.

“Pengesanan awal dan rawatan segera penting bagi mengelakkan komplikasi serta mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain dalam komuniti,” katanya. – BERNAMA