BATU KAWAN, 1 Disember - Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) telah membuka dua lorong manual Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Bandar Cassia bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.
JKSB dalam kenyataan memaklumkan, dua lorong terlibat adalah di Lorong K23 (Plaza Tol B) dari arah Lebuh Raya Utara-Selatan ke Bandar Cassia dan Lorong M4 (Plaza Tol C) dari Bandar Cassia menuju ke Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Kedua-dua lorong manual RFID ini boleh dilalui pada waktu puncak pada hari Isnin hingga Jumaat iaitu di sebelah pagi bermula pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi, manakala sebelah petang pula antara pukul 4.30 petang hingga 7.00 malam.
“Petugas tol akan dilengkapi dengan peranti mudah alih (portable reader) di lorong manual berkenaan untuk mengimbas tag atau pelekat RFID, bagi membantu mempercepatkan transaksi pengguna,” katanya.
JKSB turut menasihatkan orang ramai agar memastikan baki di dalam kad atau e-wallet sentiasa mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar.