1,936 pelajar Malaysia di Asia Barat dilaporkan selamat

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Pendidikan Tinggi menunggu arahan rasmi Kementerian Luar sebelum sebarang tindakan mengenai pelajar di Asia Barat diambil.
  • 1,936 pelajar Malaysia di enam negara Asia Barat disahkan selamat meskipun terkesan oleh ketegangan rantau.
  • Tiada permintaan rasmi daripada pelajar berdaftar dengan Pejabat Pendidikan Malaysia untuk pulang sehingga kini.
    Krisis Asia Barat

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Sebarang tindakan berhubung pelajar Malaysia yang berdepan konflik di Asia Barat hanya akan dibuat selepas keputusan rasmi daripada Kementerian Luar Negeri, termasuk kemungkinan membawa pulang pelajar terbabit.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata segala urusan berkaitan krisis di luar negara akan dikendalikan dan diselaraskan terlebih dahulu oleh kementerian yang bertanggungjawab sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

“Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa memantau keadaan semua pelajar Malaysia yang berada di rantau itu. Apa pun, kita akan mendapat petunjuk daripada Kementerian Luar kerana urusan berkaitan krisis luar negara akan dilakukan oleh pihak mereka terlebih dahulu,” katanya ketika menghadiri majlis perasmian Masjid UPNM Sultan Ibrahim, malam ini.

Perasmian masjid tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Setakat semalam, terdapat enam pelajar Malaysia di Iran berbanding 13 pelajar pada tahun lalu. Kebanyakannya merupakan pelajar persendirian yang melanjutkan pengajian di negara itu.

Datuk Seri Dr. Zambry turut memaklumkan bahawa seramai 1,936 pelajar Malaysia yang menuntut di enam negara Asia Barat disahkan berada dalam keadaan selamat meskipun terkesan dengan ketegangan di rantau berkenaan.

Jumlah pelajar mengikut negara ialah: Iran (6), Qatar (3), Kuwait (9), Emiriah Arab Bersatu (21), Arab Saudi (135) dan Jordan (1,762).

Sehingga kini, tiada sebarang permintaan rasmi daripada pelajar yang berdaftar dengan Pejabat Pendidikan Malaysia untuk pulang ke tanah air sepanjang konflik berlaku.