KUCHING, 15 Disember - Sarawak merekodkan sebanyak lapan belas kes rabies dalam kalangan manusia termasuk enam belas kes kematian telah dilaporkan dari 1 Januari hingga 13 Disember tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Choo Huck memaklumkan daripada lapan belas kes yang dilaporkan tahun ini, lima kes adalah dari Bahagian Sibu, masing-masing empat kes dari Bahagian Serian dan Kuching, 3 kes dari Bahagian Bintulu dan 2 dari Bahagian Samarahan.
"Terdapat peningkatan kes berbanding hanya empat belas kes bagi tempoh sama pada tahun 2022 iaitu sebanyak empat kes atau 28.6 peratus.
"Kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 73 kes dengan 66 kematian," katanya menerusi kenyataan media.
Kes terbaru merupakan seorang perempuan berumur 44 tahun yang mula bergejala pada 28 November 2023 dan meninggal dunia pada 12 Disember 2023 di Bahagian Kuching.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengingatkan orang ramai agar memastikan anjing dan kucing peliharaan diberi vaksinasi rabies yang lengkap setiap tahun.
Orang ramai juga diminta untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar atau terkena air liur pada bahagian mukosa dan kulit yang mempunyai luka atau radang, termasuk haiwan peliharaan sendiri.