KUALA LUMPUR, 10 Disember- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyelamatkan sebanyak 17 projek perumahan 'sakit' sepanjang tahun ini.
Perkara itu sekali gus merealisasikan hasrat rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.
Menterinya Nga Kor Ming berkata, PR1MA turut berjaya menyiapkan sehingga 9,500 unit rumah sekali gus menjadikan ia antara kejayaan terbesar KPKT sepanjang 2023.
"Dalam tempoh tahun ini, projek terbengkalai yang dulu bertahun tahun berjaya diselamatkan. Kunci kepada pemilik rumah juga diserahkan. Ini merupakan satu kejayaan atas usaha gigih KPKT bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita di sini.
KPKT turut mencatat pencapaian baik bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana berjaya menyiapkan Rumah Mesra Rakyat melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 4,200 unit rumah.