SUNGAI PETANI, 30 Januari – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah mengambil masa hampir 17 jam bagi operasi memadam kebakaran sebuah kilang makanan sejuk beku di Jalan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) 3/7, Kawasan Perusahaan LPK 3, di sini, semalam.
Komander Operasi Kanan Zon 2 Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba II Johari Bar Azwar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.25 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya dan Sungai Petani, bersama pasukan bomba sukarela, dikerahkan ke lokasi bagi operasi pemadaman.
"Hasil siasatan mendapati, kebakaran tersebut melibatkan bahagian alat penyejukan dalam kilang berkenaan.
"Setiba di lokasi, asap tebal dikesan di dalam bangunan dan anggota bomba menggunakan kipas bagi memastikan pengudaraan yang baik," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, api berjaya dikawal pada pukul 10.05 malam, manakala operasi pemadaman sepenuhnya tamat pada 6.18 pagi tadi.
Kebakaran dianggarkan telah memusnahkan 40 peratus daripada keseluruhan struktur bangunan kilang tersebut.