KUALA LUMPUR, 12 November - Sebanyak 149 daripada 200 buah sekolah berisiko tinggi dan sekolah asrama telah selesai dipasang kamera litar tertutup (CCTV) setakat ini, menjadikan pencapaian semasa sebanyak 75 Peratus.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan, pemasangan bermula 13 Oktober lalu itu mencerminkan komitmen tinggi kementerian memastikan keselamatan murid dan warga sekolah diutamakan.
Berhubung penetapan lokasi pemasangan CCTV, beliau menjelaskan KPM mengutamakan keseimbangan antara keselamatan murid dan privasi mereka berdasarkan khidmat nasihat Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
"CCTV hanya akan dipasang di ruang awam yang strategik dan berisiko tinggi, seperti laluan utama asrama termasuk pintu masuk dan keluar, kawasan tangga dan koridor, dewan makan, bilik prep, bilik seterika, serta kawasan persekitaran blok asrama yang terpencil. Pada masa yang sama KPM ingin menegaskan bahawa CCTV tidak akan dipasang di bilik tidur, tandas atau ruang persalinan kerana ia boleh mendedahkan aib pelajar dan melanggar prinsip hak asasi serta privasi," jelasnya ketika menjawab pertanyaan wakil Arau Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim di Dewan Rakyat.
Sebagai langkah tambahan , pengawasan turut diperkukuh melalui rondaan warden secara berjadual.