fb fb fb fb fb

13 kedai musnah terbakar termasuk kedai emas

(Kebakaran melibatkan sebuah kedai emas sebelum
merebak ke 12 lagi kedai bersebelahan/FOTO JBPM)

SERDANG, 31 Oktober - Tiga belas kedai termasuk sebuah kedai emas musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Pasar, Pekan Baru Serdang, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan kedai berstruktur kayu dan batu itu pada 4.15 pagi.

"Seramai 24 anggota bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, BBP Bandar Tun Hussein Onn, BBP Bangi dan BBP Seksyen 7 dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Apabila anggota sampai, kami mendapati berlaku kebakaran di sebuah kedai emas yang merebak ke 12 premis lain di deretan rumah kedai berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

(Keadaan deretan kedai separuh papan selepas bomba
mengawal kebakaran awal pagi tadi/FOTO JBPM)

Norazam berkata, bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal kebakaran itu pukul 5.30 pagi tadi.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Media Baharu