fb fb fb fb fb

120,000 liter air diguna padam kebakaran hutan di Miri

Kebakaran melibatkan keseluruhan kawasan dengan keluasan 5.5 kilometer (km) persegi/Foto APMM

MIRI, 30 Mac - Sejumlah 120,000 liter air telah digunakan dalam operasi memadam kebakaran hutan melalui udara di Sungai Adong, di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri, Kepten Mohd Shafie Paing berkata, penerbangan menggunakan Bombardier CL415 untuk memadam keseluruhan kawasan dengan keluasan 5.5 kilometer (km).

"Sebanyak 120,000 liter air telah digunakan bagi teknik pengeboman air (water bombing) untuk memadamkan kebakaran terbabit dengan punca air telah diambil daripada Sungai Kuala Baram yang terletak pada jarak 10 kilometer daripada kawasan kebakaran," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, susulan daripada kejayaan operasi itu, pesawat Maritim Malaysia akan menyambung semula operasi pemadaman di kawasan berkenaan untuk hari keempat bermula pagi tadi.

"Orang awam diingatkan untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka memandangkan negara kini mengalami musim panas sekali gus menjadi faktor utama kebakaran kecil bakal menjadi bencana yang lebih besar," tambahnya.

Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi kenyataan turut terlibat dalam operasi memadam kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram selama dua hari pada 28 Mac lalu.

"Operasi ini telah dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Ground Team dan Air Team yang mana Ground Team terdiri daripada JBPM, TDM, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan NAIM Holdings Berhad (Syarikat Pembinaan).

"Manakala Air Team adalah daripada APMM dengan menggunakan pesawat jenis Bombardier dan turut dibantu oleh pesawat jenis Mi17 milik JBPM," katanya.

3003 BOMBA

Menurut kenyataan itu, kebakaran seluas 110 ekar itu dipercayai berpunca daripada cuaca panas dan kering.

"Sehingga kini sebanyak 90 peratus api telah berjaya dipadamkan dan keadaan api terkawal serta tiada lagi kepala api yang masih aktif kelihatan," katanya.

Susulan daripada kejayaan operasi ini, pesawat Maritim Malaysia akan menyambung semula operasi pemadaman di kawasan berkenaan untuk hari keempat bermula pagi ini.

Berikutan kejadian terbabit, orang awam diingatkan untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka memandangkan negara kini mengalami musim panas sekaligus menjadi faktor utama kebakaran kecil bakal menjadi bencana yang lebih besar.

GRACE AISYAH KEDAYAN