
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan 11 jenis bantuan kewangan bagi golongan yang layak.
- JKM menawarkan 11 jenis bantuan kewangan untuk golongan layak termasuk bantuan bulanan dan sekali beri.
- Bantuan bulanan merangkumi lapan skim seperti Bantuan Kanak-Kanak, Warga Emas dan bantuan OKU.
- Bantuan sekali beri termasuk Bantuan Alat Tiruan, Geran Pelancaran dan Tabung Bantuan Segera.
- Mulai 1 Januari 2026 JKM guna pakai Pendapatan Garis Kemiskinan 2024 sebagai salah satu syarat kelayakan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata, inisiatif itu bagi memastikan golongan berpendapatan rendah, warga emas, serta individu kurang upaya menerima sokongan sewajarnya.
“Bantuan bulanan terdiri daripada lapan skim, termasuk Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas, Bantuan Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik, Bantuan Am Persekutuan, Bantuan Anak Pelihara, dan Bantuan Latihan Perantis.
“Sementara itu, bantuan sekali beri merangkumi tiga skim, iaitu Bantuan Alat Tiruan (BAT) atau sokongan, Bantuan Geran Pelancaran, dan Tabung Bantuan Segera. Semua bantuan disalurkan berdasarkan kelayakan dan keperluan penerima, dengan syarat asas bahawa mereka adalah warganegara dan bermastautin di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli berkenaan kriteria dan faktor yang diambil kira JKM dalam menilai semula kelayakan serta memperketat pemberian bantuan kebajikan bulanan kepada penerima sedia di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, JKM turut menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebagai salah satu syarat utama, selaras dengan Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2024 yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi.
Belanjawan 2026 menetapkan nilai PGK baharu 2024 sebanyak RM1,236 berbanding RM1,198 bagi PGK Makanan 2022. Sementara itu, nilai PGK per kapita 2024 turut dinaikkan kepada RM348 berbanding RM322 pada tahun 2022.
Sehubungan itu, bermula 1 Januari 2026, JKM akan mengguna pakai PGK 2024 sebagai salah satu syarat dalam pemberian bantuan kebajikan.