GEORGE TOWN, 1 November – Sebuah garaj berkeluasan 100 kaki persegi di Lengkok Kampung Jawa 2, Bayan Lepas, terbakar awal pagi tadi, mengakibatkan 11 buah motosikal mengalami kemusnahan.
Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.51 pagi tadi.
Katanya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi pada jam 6.59 pagi.
"Kebakaran itu bukan sahaja memusnahkan tujuh daripada 11 motosikal yang ada, manakala empat lagi hanya mengalami kerosakan sekitar 10 peratus, tetapi turut melibatkan sebuah lori yang diparkir di garaj persendirian tersebut," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.