PUTRAJAYA, 26 Mac- Seramai 108 orang warga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berkelayakan menerima Bantuan Infaq Ramadan dan Aidilfitri Kelab Bukit Perdana Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM18,000.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee yang mengumumkan bantuan itu dalam Majlis Perhimpunan Bulan Mac 2025 JAKIM berkata ia akan diselaraskan oleh Kelab JAKIM sejiwa.
"Bantuan infaq Ramadan dan Aidilfitri Kelab Bukit Perdana Jabatan Perdana Menteri kepada warga JAKIM seramai 108 orang yang berkelayakan berjumlah RM18,000 diselaraskan oleh Kelab JAKIM Sejiwa," kata Datuk Dr. Sirajuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau turut memberi penghargaan kepada Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang telah dinobatkan sebagai antara enam institut latihan awam mencapai tahap tertinggi dengan pelaksanaan maksimum 14 fungsi serta berada di tahap transformasi.
Sepanjang Ramadan ini, JAKIM telah melaksanakan program-program berskala besar seperti Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan, Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan "Fascinating Ramadan" bersama Saudara Muslim.
Hampir 500 warga JAKIM telah hadir dalam perhimpunan bulanan itu di Putrajaya.