fb fb fb fb fb

100 penjaja terjejas di Tapah akan dipindahkan ke tapak baharu

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

TAPAH, 25 Mac - Kira-kira 100 penjaja terjejas susulan pelaksanaan sistem penyuraian trafik satu hala di pekan Tapah akan dipindahkan ke tapak baharu yang telah dikenal pasti.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini beliau sedang menunggu laporan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang mengenai status tanah tersebut serta kos yang perlu ditanggung.

Beliau sebelum itu menerima aduan daripada kumpulan berkenaan mengenai perniagaan mereka yang terjejas akibat pelaksanaan sistem tersebut sejak Ogos lalu.
 
"Tetapi sementara nak siap kita dapat aduan ada penjaja-penjaja yang terkesan. Aduan itu saya tidak dapat menarik balik laluan itu sebab itulah kaedah penyuraian trafik. tapi kepada mereka yang terkesan itu kita akan cari tapak baru.

"Saya ingat ia akan mengambil masa dalam tiga empat hari saja untuk mendapat status tanah. Jadi apabila dah dapat tahu, kita akan umumkan sebab kita dapat persetujuan daripada persatuan penjaja," kata Saarani kepada pemberita selepas merasmikan Program KPKM Inc dan Riang Ria Raya di Pejabat Pertanian Daerah Batang Padang, di sini.

Pada 19 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan peruntukan RM2.5juta diperlukan bagi menyelesaikan sistem penyuraian trafik di berkenaan bagi menambah baik laluan tersebut agar lebih bersistematik.

Sementara itu Saarani berkata, Jabatan Pertanian Negeri Perak untuk jualan produk Industri Asas Tani (IAT) merekodkan jualan sebanyak RM65.5 juta pada tahun 2024.
 
Katanya, jumlah tersebut diperoleh melalui 492 usahawan melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak 12.72 tan metrik. Untuk tahun ini, seramai 50 usahawan menerima bantuan daripada kerajaan negeri dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM980,000.
 
Beberapa usahawan dbawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri juga mencatatkan kejayaan yang membanggakan dengan meraih pendapatan tahunan melebihi RM1 juta.

"Tetapi paling penting mereka perlu tambah baik bukan sahaja produk, kaedah pembungkusan dan kaedah promosi. Apabila kita keluar negara produk yang dijual di antarabangsa ini produk kita jauh lebih sedap, tetapi kita gagal mempromosikanya. Jadi kita lihat ada elemen keperluan untuk kita membuat promosi ke luar negara," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF