BACHOK, 4 Jun- Kerajaan menyasarkan pengeluaran hasil daging lembu negara meningkat kepada lebih 100,000 tan metrik setahun pada 2030 berbanding sebanyak 47,000 tan metrik bahan mentah tersebut yang dihasilkan setiap tahun ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara sebenarnya memerlukan kira-kira daging lembu kira-kira 200,000 tan metrik bagi menampung permintaan penduduk sepanjang setahun.
Katanya, ketika ini Malaysia hanya menghasilkan kira-kira 20 peratus daging menyebabkan lebihan 80 peratus diimport antaranya dari India, Brazil dan Australia.
“Satunya yang sedia ada kita minta untuk tingkatkan jumlah penternakan. Kita harap dengan kerjasama kerajaan negeri sebab tanah ini milik kerajaan negeri mereka yang nak menternak ini diberi peluang untuk membuka ladang-ladang baru terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi dan Perasmian HL Agro Farm KB Sdn. Bhd. di Kampung Sri Kemunting, Gunung di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 ringgit bagi membantu anak-anak muda yang ingin melibatkan diri dalam sektor tersebut.
“Bidang penternakan mempunyai masa depan yang cerah kerana ia merupakan salah satu sumber keperluan bekalan makanan negara.
“Setakat ini, bekalan lembu korban di negara ini mencukupi dan mampu menampung permintaan umat Islam sempena Hari Raya Aidiladha,” ujarnya.