fb fb fb fb fb

100,000 disasar hadir perhimpunan Santai Anak Utara di Kedah

BAGAN SERAI, 9 Mei- Seramai 100,000 orang disasar menyertai perhimpunan Santai Anak Utara (SAU) sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-10 di Taman Jubli Emas, Alor Star, Kedah pada 21 Mei ini.

Pengasas SAU Muhammad Safiyuddin Elias berkata, sambutan itu bertujuan mendidik penunggang motosikal mengenai keselamatan dan mengelakkan amalan rasuah.

“Kita berkolaborasi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mendidik penunggang motosikal supaya tidak terbabit dengan gejala ini seperti memberi rasuah apabila tidak memiliki lesen motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program SAU Hari Raya Aidilfitri Bersama Penunggang Motosikal di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin semalam yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Muhammad Safiyuddin berkata perhimpunan itu mendapat sokongan Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Penasihat SAU dan ia turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah mengenai keselamatan kepada penunggang motosikal serta kempen derma darah.

Beliau berkata perhimpunan SAU membabitkan jumlah peserta yang sama turut dirancang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor sebelum akhir tahun ini.

Wan Ahmad Fayhsal pula berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan dan kerjasama dalam usaha mendidik golongan yang meminati sukan permotoran mengenai keselamatan serta nilai-nilai murni serta perpaduan.


(Foto fail)

“Sayang kalau kita tidak ada kerjasama yang baik kerana mereka mempunyai penggemar sukan permotoran dan kerajaan boleh bersama-sama mendidik mereka serta masyarakat.

“SAU sudah menjangkau 10 tahun dan menjadi satu jenama yang kuat dalam kalangan peminat motosikal di utara,” katanya.

Beliau juga berkata platform SAU boleh digunakan dalam program pendidikan untuk mewujudkan masyarakat berintegriti dengan menjemput penceramah kempen antirasuah dan dadah bagi mendekati anak muda yang masih berjiwa aktif supaya mereka tidak terjebak dengan gejala itu.

Media Baharu