
PUTRAJAYA, 20 Januari – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti serta merancang untuk menaik taraf 10 politeknik secara berterusan dalam proses reformasi sektor pendidikan tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Kerajaan merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti untuk memperkukuh institut TVET.
- 10 politeknik akan dinaik taraf secara berterusan sepanjang pelaksanaan RPN 2026-2035.
- Kurikulum akan fokus pada digital, AI, data sains, automasi dan teknologi tenaga sebagai keutamaan.
Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap politeknik dan kolej komuniti bagi memperkukuh laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sejajar dengan keperluan teknologi dan industri baharu.
Langkah itu bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang relevan dengan perubahan pesat ekonomi global.
“Kementerian sedang merangka Akta Politeknik dan Kolej Komuniti, manakala 10 politeknik akan dinaik taraf secara berterusan sepanjang tempoh perancangan pendidikan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Menurut Datuk Seri Anwar, kurikulum politeknik dan kolej komuniti akan memberi penekanan kepada bidang digital, kecerdasan buatan (AI), data sains, automasi, kreativiti digital serta peralihan tenaga.
“Disiplin baharu seperti digital, AI dan teknologi tenaga mesti dikuasai. Kita tidak boleh menunggu tiga, lima atau sepuluh tahun dengan sistem lama,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa laluan TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya perlu diangkat sebagai antara teras utama pembangunan modal insan negara.
“TVET bukan laluan kelas kedua. Ia adalah antara tonggak utama untuk melahirkan tenaga mahir dan memacu kemajuan ekonomi negara,” katanya.