fb fb fb fb fb

10,413 warga PDRM terima APC 2023

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Seramai 10,413 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) lain-lain pangkat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam ucapannya berkata, jumlah tersebut adalah berdasarkan kuota pemberian APC diperuntukkan kepada warga PDRM berdasarkan kiraan lapan peratus kuota yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,068 adalah pegawai kanan, 8,376 anggota rendah dan selebihnya pegawai awam.

Antara penerima APC, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamed Zaki Harun; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid; Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman, Datuk Samsuddin Basir, Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainuddin Ahmad dan Komandan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd. Idzam Jaafar.

Razarudin berkata, majlis penyampaian sijil anugerah kepada penerima yang lain akan diadakan di peringkat jabatan, kontinjen serta formasi masing-masing.

Katanya, pemberian APC menjadi asas sokongan bagi proses kenaikan pangkat dan peluang untuk menyertai kursus sama ada dalam mahupun luar negara.

Pada majlis itu, Razarudin turut merakamkan penghargaan kepada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana menyampaikan replika cek Sahabat PTPTN berjumlah RM67,194 kepada Tabung Kebajikan PDRM.

Wang yang disalurkan itu merupakan pulangan yang diterima PDRM sepanjang tahun lalu, hasil daripada beberapa perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PTPTN kepada warga pasukan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE