TANAH MERAH, 23 Januari- Seramai 1,500 penerima bantuan bawah Program Bantuan One Off Perdana Menteri di Kelantan mula menerima bantuan itu hari ini.
Kesemua penerima bantuan fasa pertama itu membabitkan penduduk di lima kawasan parlimen iaitu Tanah Merah, Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat dan Kota Bharu.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM200 yang di selaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Penerima ini dipilih berdasarkan pemimpin tempatan yang ada di kawasan tersebut. Jadi mereka ini yang memilih dan lebih tahu individu yang layak.
"Bantuan ini disalurkan kepada golongan sasar yang layak. Jadi individu berkenaan telah dipilih dan layak menerima bantuan berkenaan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan itu kepada 500 penduduk Gual Ipoh di sini.
Mengulas lanjut, Azman berkata lebih ramai penerima akan mendapat manafaat daripada bantuan tersebut pada fasa–fasa berikutnya termasuk di Kelantan.
Setakat ini hampir 30 peratus proses agihan bawah bantuan itu berjaya diselesaikan melibatkan 10 buah negeri.
Pelaksanaan agihan berkenaan turut mendapat kerjasama komuniti, pemimpin setempat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).