fb fb fb fb fb

1,300 golongan memerlukan terima kurniaan Ramadan daripada Keluarga Diraja Sultan Negeri Kedah

FOTO KEDAH ROYAL FAMILY

ALOR SETAR, 15 Mac- Sentiasa cakna dan prihatin dengan nasib rakyat yang perlukan bantuan.

Bersempena Ramadan kali ini, 1,300 keluarga di Kedah menerima bantuan kurniaan Keluarga Diraja Sultan Negeri Kedah.

Majlis Kurniaan Diraja Sultan Negeri Kedah disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin di Masjid As Salam, Kampung Chepir, Sik.

Pada majlis itu, Tengku Sarafuddin Badlishah yang mewakili Keluarga Diraja Sultan Negeri Kedah menyerahkan sumbangan secara simbolik kepada Pegawai Daerah seluruh Negeri ini.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, sumbangan berbentuk kotak makanan merangkumi pelbagai makanan harian antaranya beras, gula, minyak masak, tepung, kicap dan sos, sardin, susu cair dan bahan-bahan makanan yang lain.

"Untuk tahun ni kita bagi kepada setiap daerah dan setiap daerah, Pegawai Daerah akan agihkan kepada mereka yang memerlukan, nama-nama itu semua sudah dipilih dan kami semua berharap keluarga-keluarga yang memerlukan akan lebih selesa bila menyambut bulan Ramadan dengan bantuan makanan yang diberikan,"titah baginda ketika ditemui RTM.

Inisiatif kurniaan berkenaan turut mendapat sokongan baik pelbagai pihak yang turut sama menyumbang sama ada melalui wang ringgit mahupun tenaga kerja.

Kurniaan Kotak Makanan daripada Keluarga Diraja Sultan Negeri Kedah kepada rakyat negeri itu yang memerlukan diadakan setiap tahun sejak tempoh pandemik COVID-19 melanda negara.

Ianya adalah hasil ilham dan keprihatinan Sultan Kedah dan Keluarga Diraja Baginda terhadap kesukaran dan cabaran yang dihadapi rakyat dalam kehidupan seharian.

1503 KEDAH KURNIA
Penerima bantuan kurniaan daripada Keluarga Diraja Sultan Negeri Kedah

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE