fb fb fb fb fb

1,320 individu peroleh lesen menerusi Program MyLesen B2

Seramai 1,320 individu memperoleh lesen memandu kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) Kelas B2 bagi tahun 2025 di Parlimen Miri

MIRI, 7 Disember - Seramai 1,320 individu memperoleh lesen memandu kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) Kelas B2 bagi tahun 2025 di Parlimen Miri.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menerusi kenyataan memaklumkan program itu merupakan inisiatif Kerajaan MADANI dalam membantu golongan B40 dan rakyat berpendapatan rendah.

"Lesen motosikal B2 di bawah MyLesen adalah RM250 sahaja, berbanding harga pasaran sekitar RM800 hingga RM900.

"Perbezaan hampir tiga kali ganda lebih murah ini amat membantu ramai keluarga yang selama ini tidak mampu menanggung kos lesen penuh walaupun memerlukannya untuk kegunaan harian," menurut kenyataan itu.

Pada 2024, seramai 914 individu menerima lesen menerusi program itu di Miri.

Manfaat program itu bukan sekadar memberi lesen, tetapi turut mengurangkan jumlah penunggang tanpa lesen di jalan raya selain meningkatkan pematuhan undang-undang dan keselamatan lalu lintas.

Selain itu ia juga mewujudkan peluang menyertai sektor gig seperti e-hailing dan penghantaran makanan atau barang secara langsung membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan semua penerima lesen supaya menggunakan lesen tersebut sebagai amanah dan mengelakkan perlakuan berbahaya seperti lumba haram serta sikap cuai.

"Kerjasama semua pihak yang terlibat sepert Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, JPJ Miri, Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Miri, Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah Miri, Akademi Memandu EG Sdn. Bhd., serta agensi kerajaan dan pihak swasta bagi menjayakan program tersebut," tambah kenyataan itu.

Beliau juga komited untuk memperluas program seumpama itu demi kesejahteraan rakyat Miri selain meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI