fb fb fb fb fb

Pokok berperanan penting, wujudkan keseimbangan ekosistem

Foto BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Pokok-pokok berusia di kawasan bandar memainkan peranan penting bukan sahaja mewujudkan landskap dan persekitaran hijau yang cantik, bahkan menjadi sumber keseimbangan ekosistem kawasan sekitarnya.

Pokok yang memenuhi kriteria juga boleh dipertimbangkan di bawah Perintah Pemeliharaan Pokok (PPP) oleh pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) di mana prosedur ini ditetapkan untuk memastikan pemeliharaan dan perlindungan pokok-pokok yang penting dalam konteks landskap atau persekitaran tertentu berdasarkan peruntukan Bahagian VA Akta 172 merujuk kepada undang-undang.

Walaubagaimanapun, pokok akan dikecualikan dan tidak digalakkan dikenakan PPP jika tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

Selaras dengan itu, pemeliharaan pokok adalah penting untuk mencapai aspirasi pembangunan mampan dan tanggungjawab bersama-sama semua pihak berkepentingan.

Namun, terdapat risiko keselamatan yang berkaitan dengan pokok terutamanya pokok berusia yang mungkin tumbang akibat daripada penuaan, kelemahan struktur, atau faktor alam seperti ribut atau hujan lebat.

Insiden pokok tumbang yang menyebabkan kecederaan dan kematian termasuk di Jalan Sultan Ismail di ibu negara menuntut kita untuk mengambil langkah-langkah proaktif dalam menjaga pokok-pokok berusia yang boleh mengancam keselamatan awam.

Oleh itu, selain dalam konteks pemeliharaan, pemuliharaan dan pemantauan pokok juga perlu dititikberatkan agar insiden sama tidak berulang.

Pokok berusia yang tidak dipelihara dengan baik boleh menjadi ancaman yang serius kepada keselamatan awam dan kerosakan harta benda.

Garis panduan baharu pemantauan pokok berusia

Kebimbangan terhadap keselamatan awam adalah asas bagi keperluan penyediaan garis panduan penyelenggaraan pokok berusia.

Usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyediakan garis panduan baharu yang memberi fokus pokok berusia dan berisiko tinggi perlu disambut baik.

Kajian semula garis panduan ini perlu melibatkan kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pakar landskap, dan agensi-agensi lain yang terlibat.

Kepentingan sumber kepakaran kakitangan seperti arborist dan arkitek landskap, kewangan dan teknologi di PBT perlu terutama dalam memeriksa, menilai serta memantau keadaan pokok, terutamanya di tempat awam.

Apabila pokok berada dalam keadaan berisiko tinggi, langkah-langkah mitigasi seperti rawatan akar, pemangkasan, atau penebangan perlu dilaksanakan.

Peningkatan kesedaran dan kerjasama masyarakat

Langkah lain yang boleh diambil termasuk peningkatan kesedaran dan kerjasama masyarakat dalam melaporkan pokok yang berpotensi bahaya atau risiko yang berkaitan dengan landskap bandar kepada pihak berkuasa tempatan.

Ini akan membantu memastikan bahawa setiap isu yang dikenal pasti dapat ditangani dengan cepat dan berkesan pada masa hadapan.

PENULIS, DR.SYAZWANI SAHRIR, Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau boleh dihubungi menerusi Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM