fb fb fb fb fb

Penyelidikan asas atau gunaan, mana lebih penting?

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Persoalan mengenai keutamaan di antara penyelidikan asas (fundamental research) dan penyelidikan gunaan (applied research) adalah isu yang sering dibangkitkan oleh orang awam, terutamanya apabila melibatkan penggunaan dana awam yang besar di universiti-universiti.

Ramai yang bertanya, adakah berbaloi bagi kerajaan untuk melaburkan begitu banyak wang dalam penyelidikan universiti jika hasilnya sukar untuk dilihat secara langsung oleh masyarakat? Apakah manfaat sebenar daripada pelaburan ini, dan bagaimana ia memberi pulangan kepada negara?

Persepsi orang awam terhadap penyelidikan di universiti

Tidak dapat dinafikan, terdapat pandangan umum yang skeptis terhadap penyelidikan di universiti. Ramai menganggap bahawa penyelidikan di universiti lebih kepada memenuhi keperluan akademik dan kenaikan pangkat, berbanding menghasilkan sesuatu yang benar-benar bermanfaat untuk masyarakat.

Pandangan ini berasas daripada persepsi bahawa banyak penyelidikan yang dijalankan tidak mempunyai nilai komersial atau impak langsung kepada kehidupan seharian, dan ini sering digambarkan sebagai "syok sendiri".

Dengan kata lain, penyelidikan asas sering dilihat sebagai bukan keutamaan kerana tidak memberikan pulangan pelaburan yang jelas dan segera. Namun, adakah persepsi ini benar-benar tepat?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat penyelidikan yang lebih menumpukan kepada penerbitan dalam jurnal dan memenuhi keperluan geran. Malah, dalam banyak kes, penyelidik terpaksa fokus kepada penerbitan kerana ia menjadi penanda aras atau Key Performance Index (KPI) di universiti.

Bagaimanapun, kita perlu melihat gambaran secara lebih besar. Penyelidikan asas, walaupun kelihatan tidak berhubung langsung dengan aplikasi komersial, sebenarnya adalah asas kepada banyak penemuan dan inovasi besar yang telah mengubah dunia.

Kepentingan penyelidikan asas: Pelaburan untuk masa depan

Di negara-negara maju, kerajaan telah melaburkan berbillion dolar dalam penyelidikan asas kerana mereka menyedari potensi jangka panjangnya. Pelaburan dalam penyelidikan asas bukan sahaja dilihat sebagai tanggungjawab moral dalam memperkembangkan pengetahuan manusia, tetapi juga sebagai strategi ekonomi yang penting.

Jika kita melihat sejarah perkembangan ekonomi dunia, ilmu pengetahuan adalah pemangkin utama yang membawa perubahan besar. Sebagai contoh, dominasi ekonomi oleh Eropah dan Amerika Syarikat boleh dikaitkan dengan tahap inovasi dan pengetahuan tinggi yang mereka capai melalui penyelidikan asas.

Penyelidikan asas sering kali dipacu oleh rasa ingin tahu (curiosity-driven research). Sebagai contoh, penemuan Michael Faraday mengenai hukum induksi elektromagnetik pada abad ke-19 adalah hasil penyelidikan asas.

Pada waktu itu, tiada siapa yang dapat meramalkan bahawa penemuan tersebut akan menjadi asas kepada industri tenaga elektrik yang kini bernilai trillion dolar. Begitu juga dengan penemuan-penemuan dalam bidang lain seperti semikonduktor, yang menjadi asas kepada cip telefon bimbit, komputer dan teknologi kamera CCD. Semua ini bermula daripada penyelidikan asas; pada awalnya tidak dilihat sebagai sesuatu yang mempunyai nilai komersial.

Dalam bidang perubatan, penyelidikan asas juga memainkan peranan penting. Penghasilan vaksin, misalnya, bergantung kepada pemahaman mendalam tentang molekular biologi dan penyakit, yang hanya dapat dicapai melalui penyelidikan asas.

Tanpa penyelidikan ini, pembangunan vaksin mungkin memakan masa yang lebih lama dan akan mengakibatkan lebih ramai orang awam akan terkorban sementara menunggu penghasilannya siap dan berkesan.

Peranan kerajaan dalam menyokong penyelidikan asas

Kerajaan mempunyai peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan penyelidikan asas. Pelaburan dalam penyelidikan asas adalah pelaburan jangka panjang yang mungkin tidak memberikan pulangan segera, tetapi hasilnya boleh menjadi amat signifikan pada masa hadapan.

Contoh terbaik ialah penciptaan World Wide Web yang bermula daripada penyelidikan mengenai zarah tenaga tinggi di CERN, Switzerland. Pada asalnya, para saintis di CERN mencipta protokol untuk berkongsi data, tetapi inovasi ini akhirnya berkembang menjadi internet yang kita gunakan hari ini.

Namun, persoalannya ialah bagaimana kita ingin meyakinkan kerajaan, terutamanya di negara membangun seperti Malaysia, untuk melabur dalam penyelidikan asas? Jawapannya boleh dilihat daripada contoh negara-negara seperti Korea Selatan, China, dan Singapura.

Ketiga-tiga negara ini telah melaburkan jumlah yang besar dalam penyelidikan asas, walaupun mereka bermula dengan sumber terhad. Kini, mereka telah menjadi kuasa ekonomi besar dengan inovasi teknologi yang luar biasa.

Salah satu faktor kejayaan mereka ialah kepercayaan dan kebebasan yang diberikan kepada saintis untuk menjalankan penyelidikan asas. Kerajaan Malaysia boleh mengambil pendekatan ama dengan melantik saintis-saintis cemerlang, termasuk mereka yang telah kembali dari luar negara.

Seterusnya kerajan disaran memberi mereka dana secukupnya untuk meneruskan penyelidikan yang berpotensi tinggi. Menerusi cara ini, Malaysia juga boleh membina asas ilmu pengetahuan yang kukuh, seterusnya dapat memacu ekonomi negara ke hadapan.

Kesimpulan

Dalam konteks pembangunan negara seperti Malaysia, penyelidikan asas dan gunaan masing-masing mempunyai peranan yang penting. Walaupun penyelidikan gunaan memberikan hasil yang lebih cepat dan langsung, penyelidikan asas adalah asas kepada inovasi jangka panjang yang boleh membawa manfaat besar kepada masyarakat dan ekonomi.

Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan untuk menyeimbangkan pelaburan dalam kedua-dua jenis penyelidikan ini, dengan memberi sokongan yang kukuh kepada penyelidikan asas sebagai pelaburan untuk masa depan negara.

PENULIS DR. MUHAMMAD FAISAL KHYASUDEEN, Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui e-me Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI