fb fb fb fb fb

Pembelajaran Sepanjang Hayat, bina masyarakat MADANI

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) telah lama diperkenalkan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Ini termasuklah konsep pengajian secara jarak jauh, pembelajaran teradun (blended learning) dan ODL (Open Distance Learning).

PSH merujuk kepada proses pembelajaran yang berlangsung sepanjang hayat seseorang, dari usia muda hingga tua. Konsep ini menekankan bahawa pembelajaran tidak seharusnya berhenti selepas tamat pendidikan formal, tetapi harus diteruskan melalui pelbagai cara dan pada pelbagai peringkat kehidupan. Ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kemahiran individu dalam menghadapi perubahan dan cabaran yang berterusan.

Namun kebanyakkan pemahaman berkaitan usaha ini terarah kepada pembelajaran akademik sahaja yang didambakan beserta sijil pengajian di penghujung pengajian. Sedangkan pembelajaran sepanjang hayat ini perlu difahami dalam konteks lebih luas dan besar maknanya, termasuk menambah baik pengetahuan rohani dan spiritual.

Malaysia Madani & Pembelajaran Sepanjang Hayat

Ilham Malaysia Madani merupakan satu usaha secara bersepadu dan holistik untuk memastikan dasar dan pelaksanaan yang diperkenalkan di Malaysia dapat ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas yang berterusan daripada masyarakat.

Masyarakat Madani yang diimpikan adalah masyarakat bertamadun yang berpegang kepada asas-asas agama dan memanifestasikan akhlak mulia, bukan sahaja kepada sesama manusia, bahkan alam dan haiwan; membawa kepada maksud kesejahteraan. Ia berteraskan kepada enam nilai  utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Salah satu cara bagi menjayakan hasrat ini, adalah melalui program pembelajaran sepanjang hayat yang boleh disertai oleh pelbagai lapisan dan golongan masyarakat. Di beberapa institusi pendidikan, program ini diperkenalakan sebagai program pengajian sepanjang hayat.

Pengajian Sepanjang Hayat

Kini program berkenaan banyak dilaksanakan oleh pelbagai pihak, agensi dan institusi khususnya dalam sektor pendidikan. Ia bukan sahaja bertujuan meningkatkan nilai tambah diri individu daripada aspek pengetahuan dan kemahiran, bahkan meningkatkan keyakinan berinteraksi dalam secara interpersonal dan intrapersonal. Lebih daripada itu, ia boleh juga menjadi batu loncatan untuk meningkatkan kelayakan akademik dan karier sekiranya memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Di samping itu terdapat banyak program pengajian dihadiri oleh para pesara dan kalangan warga emas antaranya di masjid dan surau seperti kelas-kelas pengajian mengaji al-Quran dan kuliah dhuha  yang dijenamakan sebagai K-POP iaitu Kelas Pengajian Orang Pencen yang memanggil penceramah jemputan  tersohor.

Malah terdapat juga kelas-kelas pengajian Bahasa Arab, pengajian fiqh, tasawwur Islam, pengurusan halal dan pengurusan masjid. Bukan sahaja menambah pengetahuan dalam aspek teori dan amali juga meningkatkan aspek rohani dan spiritual.

Pembinaan Masyarakat Madani Melalui Pengajian Sepanjang Hayat

Berdasarkan nilai-nilai teras dalam masyarakat Madani, Program Pensijilan Awam Fiqh Wanita misalnya, telah berjaya menarik ramai peserta. Walaupun program khusus berkait fiqh wanita, seramai 164 orang menyertai termasuk peserta lelaki. Sesuatu yang unik dan mengkagumkan juga apabila peserta berusia 20-an hingga usia 80 tahun turut serta.

Bukan sahaja dalam kalangan warga emas yang telah pencen tetapi para profesional dan pekerja dalam sektor awam dan swasta, suri rumah dan pelajar institusi pengajian tinggi turut serta dan berjaya menamatkan pengajian dengan baik. 

Ini menunjukkan kepekaan dan kesedaran tinggi bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi demi sebuah keluarga yang lebih berpengetahuan dan faham hukum serta pelaksanaanya; merangkumi fiqh atau hukum hakam berkaitan ibadah, keluarga, muamalat dan harta pusaka.

Program seperti ini, pastinya membantu masyarakat awam untuk mengetahui dan memahami konsep asas hukum-hakam fiqh Wanita, sekali gus dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah berkaitan, di samping dapat menjalani kehidupan seharian berlandaskan syariat Islam sebenar.

Sinergi Kepakaran Institusi Pendidikan dan Agensi Kerajaan

Selain Program Pensijilan Fiqh Wanita,  beberapa program Pensijilan Awam lain seperti Pengurusan Halal dan Pengurusan Masjid turut dianjurkan melalui pelan strategik antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)  dan Universiti Islam Selangor (UIS).

Program yang diadakan pada setiap hari Sabtu di masjid-masjid terpilih sekitar Selangor, bukan sahaja memakmurkan masjid pada hujung minggu, tetapi dapat mempertingkatkan pemahaman dan amalan Masyarakat Islam khususnya dalam aspek fardu ain dan fardu kifayah.

Sebenarnya, pembinaan masyarakat madani memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak berkepentingan. Dalam konteks ini sinergi antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan amat diperlukan termasuk berkaitan kepakaran akademik, pengurusan operasi, dana kewangan dan pengurusan tempat. Ia bagi membolehkan cita-cita menjadi Malaysia Madani difahami maknanya dan ke semua Hasrat dapat dicapai.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NORA INAN BAHARI
Dr. Nora`Inan Bahari
Pensyarah Syariah dan Undang-Undang
Penyelaras Program Sijil Fiqh Wanita
Universiti Islam Selangor.

MAT YUNUS BIN SABRI