fb fb fb fb fb

Mengurus stress dalam kalangan pelajar universiti

Ilustrasi RTM

SAUDARA PENGARANG

Stress adalah tindak balas mental, emosi dan fizikal seseorang terhadap tekanan, tugasan atau cabaran dalam kehidupan. Ia berlaku apabila seseorang berada dalam situasi yang menyebabkan dia merasa tertekan, cemas, risau, bimbang, letih, lemah atau dalam keadaan seseorang merasa dia tidak mampu untuk menyelesaikannya atau mengatasinya.

Semua orang akan mengalami stress termasuk pelajar universiti. Pelajar-pelajar yang baru masuk universiti berhadapan dengan stress kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di kampus dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Disamping itu, pelajar-pelajar universiti juga stress dengan ujian, tugasan dan peperiksaan akhir yang perlu mereka hadapi.

Kegagalan menangani stress boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat mahu pun individu. Stress mampu melemahkan sistem imun tubuh kita yang akhirnya membawa kepada penyakit-penyakit berbahaya seperti kanser dan sakit jantung. Stress boleh membunuh, maka jangan biarkan ia membunuh anda mahupun orang yang anda sayangi.

Tanda-tanda stress

Tanda-tanda stress termasuk perubahan fizikal, emosi, mental, dan tingkah laku. Fizikalnya, seseorang mungkin mengalami sakit kepala, ketegangan otot, masalah tidur, dan degupan jantung kencang. Emosinya mudah marah, cemas, hilang minat, tertekan, atau murung. Stress juga menyebabkan hilang kawalan diri.

Stress mengakibatkan seseorang itu sukar untuk fokus, pemikirannya bercelaru atau tidak dapat membuat keputusan, sentiasa risau, berfikir secara berlebihan (overthinking) dan mungkin hilang ingatan jangka pendek. Implikasinya, dia akan menyisihkan diri, makan berlebihan atau kurang makan, mengabaikan tanggungjawab atau prestasi kerja/akademik yang menurun serta kerap menangis atau mudah tersentuh.

Adakah stress boleh dielakkan?

Stress tidak dapat dielakkan sepenuhnya kerana ia sebahagian daripada kehidupan, terutama dalam menghadapi cabaran, perubahan, dan tanggungjawab. Namun, stress boleh diurus melalui strategi tertentu. Perubahan, seperti kemajuan teknologi, jawatan baru, atau pekerjaan baru, memerlukan adaptasi yang sering datang bersama stress.

Punca stress dalam kalangan pelajar universiti

Pelajar-pelajar universiti berhadapan dengan kebimbangan (anxiety) dengan tarikh akhir tugasan, tekanan sosial dan masalah kewangan. Pelajar sentiasa berasa cemas atau nervous apabila setiap kali pengajarnya memberi tugasan, terutama apabila terpaksa menyiapkan tugasan yang banyak dan perlu di siapkan dalam masa singkat.

Seterusnya, tekanan sosial timbul apabila pelajar perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, mencari kawan baru yang boleh memberi bekerjasama dan yang penting sekali memenuhi harapan keluarga. Di samping itu, kekangan kewangan menambahkan stress apabila pelajar perlu membuat kerja sampingan atau hanya mengharapkan duit daripada keluarga. Ini kerana pelajar harus memikirkan kewangan untuk makan dan minum ketika berada di kampus.

Makanan dan minuman yang mencukupi amat penting bagi pelajar-pelajar kerana pembelajaran dalam keadaan perut kosong akan mengganggu konsentrasi pelajar. Pemakanan seimbang juga akan memberikan kesihatan yang baik kepada pelajar dan dapat belajar dalam keadaan selesa.

Faktor-faktor lain juga memainkan peranan seperti gaya hidup yang seimbang serta rehat yang cukup terutama sekali tidur yang berkualiti untuk membina tenaga dan minda yang sihat dan bersedia untuk fokus dan memproses ilmu-ilmu yang akan didedahkan oleh pensyarah. Isu-isu tersebut yang dihadapi oleh pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi bukanlah suatu perkara remeh. Ia adalah perkara penting untuk diberi perjatian dan diambil berat oleh pelajar-pelajar universiti.

Di sebalik senyuman terukir pada wajah setiap pelajar, tersembunyi rasa cemas yang kadang-kadang susah untuk diungkapkan. Pada usia remaja tidak sepatutnya pelajar-pelajar mengalami masalah kebimbangan atau stress melampau kerana ia memberi impak negatif yang berpanjangan. Masalah ini selalu memberi impak negatif apabila pelajar-pelajar sering memikirkan masa hadapan yang belum berlaku.

Stress melampau yang tidak ditangani dengan segera dan dengan sebaiknya boleh memberi kesan jangka masa panjang kepada kesihatan mental pelajar-pelajar dan kualiti kehidupan pelajar-pelajar dikampus dan juga kehidupan apabila memasuki alam pekerjaan. Sehubungan dengan itu, para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi perlu diberi pendedahan bagaimana mengawal, menangani dan mengurus stress sepanjang bergelar sebagai mahasiswa dan mahasiswi. Ini beberapa kaedah mengurus stress dalam kalangan pelajar.

1. Mengatur jadual untuk menangani beban akademik

Kehidupan mahasiswa dipenuhi tugasan dan penilaian, menjadikan pengurusan masa sangat penting. Mengatur jadual secara berkesan membantu pelajar menangani beban akademik. Rancang tugas mengikut prioriti dan tarikh akhir, pastikan tugasan penting disiapkan tepat pada masanya. Teknik pengurusan masa yang baik memastikan produktiviti yang berkesan.

2. Elakkan kerja saat akhir

Melakukan kerja pada saat akhir boleh menyebabkan tekanan, hasil kerja yang kurang berkualiti, dan keletihan. Apabila tugasan dibuat pada saat akhir, masa untuk merancang, meneliti, dan memperbaiki hasil kerja sangat terhad. Ini juga boleh menjejaskan pemahaman dan prestasi akademik.

Untuk mengelakkan kerja saat akhir, penting bagi pelajar untuk merancang tugasan lebih awal, pecahkan tugasan besar kepada bahagian kecil, dan tetapkan tarikh akhir peribadi lebih awal daripada tarikh sebenar. Dengan pengurusan masa yang baik, pelajar boleh menyelesaikan tugasan dengan lebih tenang dan berkualiti.

3. Seimbangkan masa antara beban akademik dan peribadi

Tetapkan had masa untuk aktiviti bukan akademik seperti rehat, sukan, dan sosial agar tidak mengganggu komitmen akademik. Pelajar perlu menetapkan waktu khusus untuk berehat selepas tugasan harian. Rehat dan tidur yang mencukupi penting untuk kesihatan mental, meningkatkan produktiviti, dan mengekalkan keseimbangan.

4. Jadual lebih fleksibel

Walaupun perancangan jadual adalah penting, pelajar perlu menyedari bahawa perubahan mungkin berlaku. Oleh itu, pelajar perlu sentiasa fleksibel dan bersedia untuk menyesuaikan jadual apabila diperlukan, seperti apabila tugasan tambahan diberikan atau masa lebih diperlukan untuk satu tugasan tertentu.

5. Sokongan keluarga, rakan-rakan dan kaunselor 

Sokongan keluarga, rakan-rakan, dan kaunselor sangat penting dalam membantu pelajar universiti mengurus stress. Mereka memberi sokongan emosi dan material, menjadi tempat pelajar berkongsi masalah serta mendapatkan nasihat dan dorongan.

Berkongsi pengalaman dengan rakan sebaya yang menghadapi situasi yang sama membantu mengurangkan tekanan, memberikan sokongan emosional, dan rasa kebersamaan. Kaunselor profesional menyediakan strategi khusus untuk menangani stress, termasuk teknik relaksasi dan pengurusan masa, membantu pelajar memahami dan mengatasi punca stress.

Disamping usaha-usaha di atas, bagi pelajar beragama Islam, solat dan doa juga mampu membantu disaat pelajar-pelajar berhadapan dengan situasi getir. Ia mampu membina kekuatan jiwa yang diperlukan oleh semua pelajar. Begitu juga bagi pelajar-pelajar yang beragama selain dari agama Islam, sembahyang mereka juga boleh membantu.

Sebagai kesimpulan, pelajar-pelajar perlu di beri kesedaran bahawa stress tidak dapat dielakkan dan ia hanya boleh diurus dan di kurangkan. Maka pelajar-pelajar perlu di dedahkan tentang ilmu pengurusan stress. Stress tidak boleh di biarkan tanpa pengurusan kerana ia memberi kesan buruk kepada parar pelajar.

Oleh
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah, Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

Ahmad Kamal Ahmad Shukri
Pelajar, Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam
Universiti Islam Selangor

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI