fb fb fb fb fb

Kemenangan Trump: Harapan dan cabaran

Donald Trump ketika berucap pada malam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat di West Palm Beach, Florida pada 6 November 2024/AFP

ULASAN BERITA

Setinggi-tinggi tahniah kepada calon Parti Republikan, Donald Trump atas kebangkitan politik yang luar biasa untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat.

Slogan "Making America Great Again" atau "Menjadikan Amerika Hebat Semula" dilihat berjaya meraih sokongan dan menambat hati pengundi, seterusnya memberi mandat untuk kembali menjadi presiden, selepas kali pertama memegang jawatan itu pada penggal 2017 hingga 2021.

Persoalannya kini, apa agaknya perubahan dasar yang bakal dilaksanakan susulan peralihan kuasa di White House? Daripada Joe Biden kepada Trump dan daripada Demokrat kepada Republikan. Apakah perubahan besar akan dibuat terutama dari sudut ekonomi, perdagangan dan politik?

Malaysia menyambut positif kemenangan Trump. PMX dalam reaksinya berkata Amerika kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia Pasifik.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 pula, Malaysia berharap pentadbiran Trump akan memberi nafas baharu dalam penglibatan Amerika dengan Asia Tenggara.

Selain meningkatkan hubungan baik dua hala dan perdagangan dengan Malaysia dan ASEAN, kemenangan itu diharap turut membawa kebaikan kepada perkembangan geopolitik dunia.

Kata PMX, Malaysia menyambut baik jika Amerika mengambil sikap positif ke arah kedamaian bagi menghentikan serangan ganas Israel ke atas Gaza, dan mengiktiraf hak mutlak rakyat Palestin. Trump juga diharap dapat mencari kaedah mendamaikan konflik di Ukraine. Sesuai janji yang diikrarkan.

Trump dalam kempen pilihan raya antara lain berjanji untuk menggarap keamanan di luar negara. Termasuk menamatkan konflik dan pertumpahan darah di Gaza.

Beliau juga yakin boleh menamatkan perang di Ukraine dalam tempoh hanya 24 jam selepas memegang kuasa. Bagi Trump, nyawa lebih penting daripada sebarang agenda.

Jentera kempen pilihan raya Republikan menggambarkan Trump yang terselamat daripada dua cubaan bunuh, sebagai seorang pemimpin yang antiperang. Malah beliau satu-satunya Presiden Amerika dalam era sejarah moden tidak melancarkan sebarang peperangan.

Dari sudut ekonomi dan perdagangan, pelbagai pandangan disuarakan oleh penganalisis. Kemenangan Trump dilihat membawa peluang dan cabaran secara serentak kepada Malaysia. Pelaksanaan strategi “China Plus One” dijangka memberi manfaat kepada Malaysia melalui peningkatan pelaburan.

Potensi eksport lebih cerah. Terutama bagi sektor elektronik, jentera, dan minyak sawit. Berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika dengan China yang semakin meningkat, Malaysia dijangka mencatatkan permintaan eksport lebih tinggi daripada syarikat Amerika yang mencari produk di luar China.

Tarif lebih tinggi terhadap barangan dari China boleh mendorong firma Amerika mengalihkan penyumberan dari China ke Malaysia, Sekali gus meningkatkan permintaan eksport.

Dari sisi lain, Malaysia disaran menyediakan pelan luar jangka untuk berdepan sebarang kemungkinan perubahan dasar dan tarif bersasar Amerika. Ini penting bagi membolehkan Malaysia menangani risiko.

Pelbagaikan pasaran eksport dan beransur-ansur kurangkan kebergantungan pada pasaran Amerika yang luas. Menurut Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan pula, Trump dijangka mengambil pendekatan baharu dalam penggal kali ini untuk mengukuhkan keamanan dan kemakmuran serantau, Di samping mempertingkat hubungan perdagangan sedia ada.

Walaupun Trump semasa penggal pertamanya memberi fokus kepada usaha memastikan perdagangan yang kukuh berterusan secara adil, selain memperkukuh hubungan Indo-Pasifik serta memastikan keamanan dan kemakmuran rantau ini.

Penggal baharu mungkin menyaksikan perubahan dari segi gaya dan pendekatan. Ini memandangkan setiap pentadbiran mempunyai gaya tersendiri.

Mengenai kemungkinan menamatkan operasi penghapusan etnik yang dilancarkan tanpa henti rejim Zionis Israel di Gaza, Kagan berkata setiap pentadbiran berhasrat untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan.

Hala tuju yang mungkin diambil oleh pentadbiran baharu akan menjadi lebih jelas seiring peralihan kuasa. Beliau secara peribadi yakin akan ada pendekatan berbeza, kerana pihaknya telah lama percaya bahawa gencatan senjata adalah penting.

Begitulah secara ringkas harapan, spekulasi dan jangkaan terhadap pentadbiran Trump. Akhirnya, kita semua perlu tunggu dan lihat apa tindakan pentadbiran baharu apabila presiden mengangkat sumpah.

Trump, 78 tahun, dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika ke-47, pada 20 Januari tahun depan.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI