SAUDARA PENGARANG
Kehidupan era moden sememangnya banyak memberi kemudahan dalam menguruskan kehidupan manusia. Namun, kadang kala arus kemodenan disalah guna sehingga menyebabkan manusia leka dalam mengejar keseronokan serta kesenangan hidup, sedangkan ada kewajiban yang perlu dipatuhi, apatah lagi mengabaikan maruah sehingga melanggar perintah Allah SWT.
Allah SWT telah memuliakan manusia dengan keindahan rupa dan akal sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran, bahasa serta dikurniakan pemikiran yang baik dalam kehidupan dan diberi kemampuan mengeksploitasi segala yang ada di bumi ini.
Kemuliaan manusia yang disebutkan itu, adalah akal fikiran supaya manusia bukan sahaja mampu berfikir tentang sesuatu perkara malah dapat membezakan antara yang hak dan batil. Keistimewaan yang dikurniakan ini sewajarnya digunakan ke arah kebaikan iaitu dengan mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
Namun akhir zaman ini, kebanyakan manusia lebih mengikut hawa nafsu sehingga melanggar perintah tuhan semata-mata ingin mengejar keseronokan dan kemewahan hidup. Ini berlaku kerana kurangnya penghayatan terhadap ilmu agama sehingga membawa kepada kelemahan iman, disamping pengaruh daripada keadaan dan orang sekeliling.
Kenyataan ini berkait rapat dengan isu tular di media sosial berkaitan pelacuran moden baru-baru ini. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan wanita muda; dengan mudah dan tanpa batasan menjadikan media sosial sebagai platform untuk memasarkan video lucah mereka.
Video yang dirakam sendiri, diedarkan kepada peminat yang sanggup membayar dengan harga ditetapkan. Melihat kepada keadaan ini, secara tidak langsung menggambarkan keruntuhan akhlak dan hilangnya sifat malu serta harga diri yang sangat membimbangkan.
Hakikatnya, Islam sangat menekankan soal malu serta maruah. Tindakan atau perbuatan pelacuran moden menggambarkan terhakisnya sifat malu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada iman dan benteng seorang wanita daripada melakukan larangan Allah SWT.
Ini kerana pokok pangkal kebaikan dan benteng diri daripada melakukan maksiat adalah sifat malu. Malu adalah sebahagian daripada iman, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Iman memiliki lebih dari enam puluh cabang, dan malu adalah sebahagian daripada iman.” (Riwayat Bukhari).
Melalui hadis tersebut, dapat dikaitkan bahawa malu mempunyai kelebihan sebagai perisai dan penjaga jiwa, pemikiran juga tingkah laku manusia.
Antara faktor yang menyebabkan golongan tersebut bertindak sedemikian adalah kerana dirinya telah terluncur atau terlepas daripada kawalan sifat malu yang menyebabkan hilangnya segala kebaikan dan akhlak terpuji.
Secara tidak langsung, hal sedemikian menampakkan rendahnya wanita meletakkan kehormatan diri mereka. Sememangnya, Islam memberi penghormatan kepada wanita kerana harga dirinya itu adalah tidak ternilai.
Maka dalam hal ini, setiap wanita seharusnya menjaga kemuliaan dan kehormatan diri dengan tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang menjatuhkan maruah.
Sabda Baginda SAW: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”(Hadith Riwayat Muslim)
Malu seorang wanita ini bukanlah tidak berkomunikasi langsung atau berjalan tunduk sepanjang masa. Malu adalah satu naluri kurniaan Allah SWT kepada wanita supaya mereka lebih sensitif untuk melindungi anugerah kecantikan dari-Nya.
Meskipun sifat malu lebih sinonim ditujukan kepada wanita, hakikatnya sifat malu adalah kepada seluruh umat manusia. Maka, amat penting setiap orang sama ada wanita mahupun lelaki menjadikan sifat malu sebagai landasan etika dalam usaha membentuk keperibadian mulia.
Ia kerana dengan mengamalkan sifat ini, seseorang itu akan memperoleh banyak kebaikan khususnya untuk meningkatkan darjat dan kehormatan di sisi Allah SWT.
Imam al-Māwardī telah membahagikan malu kepada tiga pecahan iaitu malu kepada Allah S.W.T, sesama manusia dan diri sendiri. Apabila seseorang itu berasa malu kepada diri sendiri pastinya akan memelihara dirinya sendiri dengan tidak menzalimi diri melakukan perbuatan yang membawa kepada kehinaan dan keburukan diri.
Begitu juga apabila seseorang itu memiliki rasa malu sesama manusia, pasti mereka mampu menahan diri untuk tidak melakukan kemungkaran bersama atau di hadapan manusia lain, sama ada secara terang-terangan untuk menghindarkan diri daripada dipandang buruk pada pandangan manusia.
Paling penting adalah jika seseorang itu berasa malu kepada Allah maka larangan-Nya tidak akan mudah diingkari. Orang yang memiliki sifat malu akan sentiasa menjaga hawa nafsunya kerana setiap kali dia ingin melakukan hal sama yang membawa kepada keburukan pasti akan tertahan atau terhalang atas desakan rasa malu.
PENULIS DR. SHARIFAH BASIRAH SYED MUHSIN, Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.