SAUDARA PENGARANG
Dalam hiruk-pikuk dunia yang kian moden, manusia sering alpa akan hubungan eratnya dengan alam sekitar. Ketika kita sibuk mengejar kemajuan, bumi yang menjadi anugerah Ilahi ini semakin hari semakin terancam. Pencemaran udara, kemusnahan hutan, dan perubahan iklim kini menjadi ancaman nyata.
Bayangkan seorang petani yang dahulu hidup dikelilingi hijau sawah padi, kini terpaksa bergelut dengan tanah tandus akibat kemarau panjang. Situasi ini mencerminkan betapa rapuhnya keseimbangan alam apabila prinsip kelestarian diabaikan.
Dalam Islam, hubungan antara manusia dan alam tidak hanya bersifat duniawi tetapi juga spiritual. Konsep halalan tayyiban, yang merangkumi kesucian dan kebaikan, kini diperluaskan melalui idea Green Halal iaitu satu pendekatan integratif untuk menyelaraskan keperluan halal dengan prinsip kelestarian alam.
Definisi dan Prinsip Asas Kelestarian dalam Islam
Kelestarian dalam Islam berakar pada ajaran Al-Quran dan Sunnah. Al-Quran menegaskan bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi, yang bertanggungjawab menjaga keseimbangan ekologi. Firman Allah SWT dalam Surah Al-A'raf, ayat 56: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah baik (sempurna). Dan mohonlah kepadaNya dengan perasaan takut dan penuh harapan (akan diterima), Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”
Prinsip kelestarian Islam juga berlandaskan Maqasid Shariah, yang bertujuan memelihara lima perkara utama: agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam konteks ini, usaha menjaga alam sekitar adalah selari dengan menjaga nyawa demi kebaikan generasi akan datang.
Konsep Green Halal dalam Industri Halal
Konsep Green Halal bukan Sahaja merujuk kepada aspek pensijilan halal malah ianya mengintegrasikan elemen kelestarian. Ini termasuk memastikan proses pengeluaran, pembungkusan dan penghantaran produk halal mematuhi piawaian mesra alam.
Sebagai contoh, menerapkan amalan penggunaan bahan mentah organik, pembungkusan biodegradasi dan pengurangan sisa dalam rantaian bekalan. Ianya bukan sahaja berkaitan dengan pematuhan syariat Islam, tetapi juga melibatkan tanggungjawab manusia terhadap keseimbangan ekosistem.
Dalam dunia moden, di mana isu kemusnahan alam sekitar semakin serius, Green Halal menjadi suatu pendekatan yang relevan dan penting. Islam, sebagai agama yang lengkap, menggariskan kewajipan manusia agar memelihara bumi dengan baik.
Banyak syarikat kini mula menyedari bahawa kelestarian tidak hanya menarik pengguna malah juga memberi nilai tambah serta berupaya meningkatkan daya saing. Sebagai peneraju industri halal global, Malaysia berpotensi besar untuk membangunkan standard Green Halal yang akan menjadi rujukan antarabangsa.
Cabaran dan peluang mewujudkan ekosistem halal yang lestari
Namun, usaha ini tidak terlepas daripada cabaran. Antaranya ialah kos yang tinggi untuk melaksanakan teknologi hijau, kesedaran dan pemahaman dalam kalangan pengguna serta pengeluar yang rendah serta kekurangan dasar yang menyokong inisiatif ini.
Sebagai contoh terdapat pengguna yang meragui label “semula jadi” atau “mesra alam” pada sesuatu produk. Walaupun begitu, peluangnya juga besar. Malaysia, dengan infrastruktur halal yang kukuh, boleh memanfaatkan kedudukannya untuk menjadi peneraju Green Halal.
Rangka tindakan menyeluruh seperti Halal Industry Master Plan 2030 (HIMP 2030) boleh diperluaskan bagi merangkumi elemen kelestarian.
Tanggungjawab individu dan komuniti Islam
Setiap individu Muslim bertanggungjawab menyokong prinsip kelestarian. Pilihan pengguna terhadap produk halal yang mesra alam boleh memberi isyarat yang positif terhadap pasaran halal.
Selain itu, institusi seperti masjid dan sekolah juga boleh memainkan peranan melalui pendidikan dan kempen kesedaran.
Badan bukan Kerajaan (NGO) Islam dan organisasi tempatan boleh mengadakan program pemuliharaan alam sekitar yang selari dengan ajaran Islam, seperti penanaman pokok, pengurusan sisa dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Kesimpulan
Green Halal relevan dalam menyelesaikan masalah alam sekitar, dan ia merupakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang perlu dilaksanakan untuk memastikan masa depan yang mampan. Dalam dunia moden, prinsip kelestarian dalam Islam memberi panduan yang jelas untuk memastikan keharmonian antara manusia dan alam. Kerjasama erat antara kerajaan, industri dan masyarakat adalah kunci untuk merealisasikan visi ini.
Green Halal bukan sekadar satu pilihan sebaliknya suatu kewajipan bagi melindungi dunia demi kebaikan generasi akan datang.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 205: “Dan apabila ia pergi (dari kamu) ia berusaha membuat kerosakan di muka bumi, merosak tanam- tanaman dan ternakan, dan Allah tidak suka kepada kerosakan.”
Maka, marilah kita bersama-sama menjadikan Green Halal bukan sekadar pilihan, tetapi suatu cara hidup yang menyatukan keimanan dan tanggungjawab terhadap alam.
Usaha kecil yang kita lakukan hari ini seperti memilih produk mesra alam, menyokong inovasi hijau dan mendidik generasi akan datang, bukan sahaja menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah, malah melaksanakan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini. Ayuh, jadikan Green Halal sebagai amalan kita untuk dunia yang lebih sejahtera dan lestari.
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
Puan Junainah Idris
Pensyarah Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.