fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024: Medan perkukuh asas ekonomi, perkasa rakyat

(Sidang Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2023 berkaitan pembentangan Belanjawan 2024/Foto FB Anwar Ibrahim)

SAUDARA PENGARANG 

Jika diandaikan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang mencakupi tempoh 2021-2025 sebagai acara larian marathon kategori 5 kilometer, Malaysia menerusi Belanjawan 2024 akan memasuki jarak larian 2 kilometer terakhir.

Sudah tentu dalam jarak sebegini, Malaysia perlu melakukan pecutan akhir bagi mencapai pelbagai sasaran pembangunan.

Menyokong kepada proses tersebut, Belanjawan 2024 yang merupakan medium kepada pelaksanaan rancangan jangka pendek dilihat mengetengahkan ikhtiar untuk memperkukuh asas ekonomi negara dan memperkasa rakyat.

Daripada perspektif pengukuhan asas ekonomi, kerajaan terus mengarahkan usaha kepada proses merombak struktur ekonomi. Proses ini penting, terutamanya pada ketika krisis ketegangan geopolitik yang bagai tiada kesudahan terus merencatkan arah pertumbuhan ekonomi dunia.

Sebagai contoh, konflik Rusia dan Ukraine telah menjejaskan rantaian perbekalan global disebabkan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Rusia, yang merupakan antara pengeluar input pertanian terbesar dunia. 

Kini, konflik antara Palestin dan Israel yang kian memuncak pula dijangka akan membawa kesan besar kepada tingkat harga minyak global.

Dengan adanya rombakan struktur, daya tahan ekonomi akan mampu diperkukuh dan seterusnya membawa kepada peningkatan hasil negara. Situasi ini akan membantu mengimbangi bebanan kerajaan dalam menanggung peningkatan jumlah subsidi, khususnya bagi subsidi input pertanian dan minyak yang berkait rapat dengan persekitaran geopolitik.

Di samping itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut disandarkan sebagai agen pengukuhan asas ekonomi. Kewajaran bagi tumpuan berterusan terhadap PMKS terletak pada peratusan aktiviti perniagaan yang bersaiz mikro, kecil dan sederhana yang mewakili lebih 98% daripada pertubuhan perniagaan berdaftar di Malaysia.

Selain itu, penumpuan kepada PMKS melalui peningkatan kemudahan pinjaman perniagaan juga merupakan kaedah tidak langsung yang akan menggalakkan formalisasi perniagaan kecil yang masih tidak berdaftar.

Dengan adanya peningkatan akses kewangan sebegini, golongan rakyat yang ingin menceburi aktiviti perniagaan kecil-kecilan juga akan dapat memulakan langkah keusahawanan mereka.

berita
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pembentangan
Belanjawan 2024/Foto FB Anwar Ibrahim)

Beralih kepada perspektif pemerkasaan rakyat, pelbagai inisiatif bantu ekonomi rakyat diberikan, malahan jumlah bantuan yang diberikan juga telah meningkat dengan ketara berbanding Belanjawan 2023 

Impak bantuan ini boleh dilihat daripada dua sudut pandangan, iaitu rakyat dan makroekonomi. 

Daripada kaca mata rakyat, bantuan yang diberikan sudah semestinya akan memberikan kelegaan disebabkan keadaan mereka yang kian terhimpit dengan bebanan peningkatan kos sara hidup. Dengan keadaan harga barangan makanan yang kian meningkat, sekurang-kurangnya bantuan yang diterima akan dapat dibelanjakan sebaiknya.

Dari sudut makroekonomi pula, langkah ini merupakan satu kaedah yang akan membantu meningkatkan kitaran ekonomi pada tahun 2024 melalui peningkatan perbelanjaan rakyat. Ini penting kerana hampir dua per tiga daripada hasil negara yang diukur berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbang oleh perbelanjaan isi rumah.

Penting adalah peningkatan jumlah bantuan tidak boleh ditafsir sebagai kegagalan kerajaan untuk mengekang isu kenaikan kos hidup. Tetapi bantuan yang diberikan merupakan ikhtiar jangka pendek bagi mengatasi isu ini. Untuk menyandarkan proses penyelesaian isu ini kepada tempoh Belanjawan 2024 sahaja adalah tidak realistik disebabkan keadaan negara yang terdedah kepada pelbagai aspek perkembangan global.

Diharapkan ikhtiar yang digerakkan oleh Belanjawan 2024 mampu terus memperkukuh asas ekonomi negara, malah melangkaui tempoh belanjawan yang ditetapkan untuk memastikan sasaran pembangunan RMKe-12 dicapai.

Ini sekali gus akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal.

PENULIS DR CHAKRIN UTIT adalah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu